Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, gagal dalam rayuannya terhadap dakwaan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Semasa menyampaikan keputusan rayuan di Mahkamah Agung pada 4 Disember, Hakim Steven Chong berkata beliau menolak rayuan Encik Pritam dan mengekalkan hukuman yang diberikan oleh Hakim Daerah Luke Tan pada Februari.
Hakim berkata keputusan bagi hukuman yang dikenakan Hakim Daerah terhadap Encik Pritam disokong oleh bukti yang telah dibentangkan.
Encik Pritam didenda $14,000 pada Februari setelah didapati bersalah atas dua tuduhan berbohong semasa menjawab soalan COP, yang bersidang bagi menyiasat pembohongan yang dibuat mantan Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan.
Dalam dua ucapan berasingan di Parlimen pada Ogos dan Oktober 2021, Cik Raeesah telah berbohong tentang mengiringi seorang mangsa serangan seksual ke balai polis.
Menjelaskan keputusannya di mahkamah – disaksikan orang awam dan pihak media yang hadir – Hakim Chong berkata:
“Perayu (Encik Pritam) berdepan dengan kebenaran yang tidak menyenangkan. Seorang AP yang sedang berkhidmat di bawah naungan parti (WP) telah berbohong – suatu pembohongan tanpa diminta.”
Encik Pritam kelihatan tenang apabila keputusan tersebut dibacakan dan perbicaraan yang bermula pada 9.45 pagi hanya mengambil masa sekitar 10 minit.
Beliau kemudian dilihat membayar denda yang dikenakan menerusi kaunter pembayaran di pekarangan Mahkamah Agung sejurus selepas perbicaraan ditangguhkan.
Beliau merupakan individu pertama sejak kemerdekaan Singapura pada 1965 yang didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) atau PPIPA.
Di bawah akta tersebut, berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Parlimen atau jawatankuasanya adalah satu kesalahan.
Encik Pritam hadir sekitar 9.30 pagi diiringi peguam bela, Encik Andre Jumabhoy dan Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang daripada firma guaman Andre Jumabhoy LLC.
Bapa beliau, Encik Amarjit Singh – mantan Hakim Daerah dan pendakwa raya – juga hadir. Turut hadir adalah dua AP WP GRC Aljunied, Encik Gerald Giam dan Encik Muhammad Fadli Mohammed Fawzi.
Bercakap kepada media di luar mahkamah selepas keputusan rayuan dibacakan, Encik Pritam berkata beliau kecewa dengan keputusan tersebut tetapi menerimanya dengan sepenuh hati.
Beliau menyifatkan Mahkamah Agung sebagai tonggak dalam rangka kerja perlembagaan Singapura dan beliau menghormati kebebasan, ketelitian dan profesionalisme mahkamah di sini.
Encik Pritam berkata: “Saya sememangnya mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap pembohongan Cik Raeesah Khan di Parlimen. Saya menggalas tanggungjawab atas perkara itu.
“Ini merupakan perjalanan yang panjang. Sepanjang semua ini, saya telah berusaha sebaik mungkin untuk bertindak dengan ikhlas dan memenuhi tanggungjawab saya di Parlimen dan kepada warga Singapura. Komitmen saya dalam aspek itu tidak akan berubah.”
Di samping itu, Encik Pritam berkata sebagai AP pembangkang, beliau semestinya mempunyai perbezaan politik dengan parti pemerintah, tetapi perbezaan itu “tidak meliputi peruntuhan sistem (undang-undang) dan mempersoalkan atau mempertikaikan integriti mahkamah atau penjawat awam.”
“Cara tersebut tidak boleh menjadi cara kita melaksanakan politik pembangkang di Singapura,” tegasnya, sambil menambah beliau menerima dan menghormati keputusan rayuan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg