Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: Noor Deros diundang ke pertemuan dengan anggota WP

Nov 4, 2025 | 9:13 PM
indranee rajah, parlimen, noor deros
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, menyampaikan Kenyataan Menteri di sidang Parlimen pada 4 November. - Foto MDDI

Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menjelaskan yang beliau mungkin telah memberi salah tanggapan bahawa guru agama dari Singapura yang tinggal di Malaysia, Encik Noor Deros, tidak diundang dalam satu pertemuan yang dihadiri anggota WP pada April.

Bercakap di Parlimen pada 4 November, Encik Pritam berkata yang Encik Noor diundang oleh seorang ustaz ke pertemuan itu dan memaklumkan Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, menerusi pesanan WhatsApp sejam sebelum ia bermula.

Encik Pritam hanya mengetahui mengenai itu seminggu selepas kenyataan menteri pada 21 Oktober apabila Encik Faisal menunjukkan mesej tersebut.

Merujuk kepada satu komen yang dibuatnya di Parlimen pada Oktober, beliau berkata:

“Dengan menggunakan perkataan ‘gatecrashed’ (datang tanpa diundang), saya mungkin telah memberi tanggapan yang Encik Noor tidak diundang oleh sesiapa.

“Ini adalah tanggapan yang tidak betul, kerana saya telah mengesahkan kemudian dalam penjelasan saya di sidang ini kepada Anggota Parlimen (Encik) Saktiandi, bahawa kehadiran Encik Noor Deros pada pertemuan itu adalah atas jemputan seorang ustaz yang diwakilkan Encik Faisal (Manap).”

Awal dari itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, telah menyampaikan Kenyataan Menteri bagi memohon penjelasan daripada Encik Pritam mengenai kenyataan yang dibuatnya dalam sidang Parlimen pada Oktober lalu.

Menurut Cik Indranee, Encik Noor telah mengeluarkan satu video pada 18 Oktober bagi menjelaskan beliau tidak menghadiri pertemuan tanpa diundang seperti yang dikatakan Encik Pritam, kepada Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam sidang Parlimen pada 21 Oktober.

Dalam responsnya, Encik Pritam menegaskan bahawa penjelasan yang dibuat adalah atas kehendaknya sendiri, di bawah Arahan Tersedia (Standing Order) 25, kerana berpendapat adalah tidak wajar untuk membiarkan tanggapan salah itu kekal dalam rekod Parlimen.

Ia merujuk kepada satu peraturan khusus dalam Arahan Tersedia Parlimen Singapura yang membenarkan seorang Anggota Parlimen (AP) untuk membuat penjelasan peribadi dengan kebenaran Speaker.

Encik Pritam juga berkongsi kira-kira seminggu selepas Kenyataan Menteri oleh Encik Shanmugam, Encik Faisal telah menunjukkan kepadanya mesej yang mengatakan Encik Noor akan hadir semasa pertemuan pada 23 April.

Mesej itu dikirim seorang ustaz kira-kira sejam sebelum pertemuan tersebut bermula.

Encik Pritam menambah, beliau dimaklumkan pada 21 Oktober namun Kenyataan Menteri disampaikan pada 14 Oktober.

Selepas Kenyataan Menteri Encik Shanmugam pada 14 Oktober, Encik Saktiandi Supaat, AP GRC Bishan-Toa Payoh, berkata beliau sukar mempercayai bahawa Encik Pritam tidak mengenali Encik Noor dan implikasi sokongannya.

Di samping itu, Cik Indranee turut mengemukakan persoalan sama ada Encik Noor dikenali WP.

“Kenyataan Encik Pritam bahawa Encik Deros adalah seorang ‘nobody’ yang “memang tidak dikenali sesiapa” memberi gambaran bahawa Encik Deros tidak dikenali WP, Encik Faisal, atau mana-mana calon WP lain yang menghadiri pertemuan tersebut,” kata Cik Indranee.

Dalam jawapannya, Encik Pritam berkata Encik Faisal mungkin mengenalinya, tetapi dirinya secara peribadi dan calon Melayu/Islam WP lain, tidak mengenali Encik Noor dan itulah yang dimaksudkannya apabila beliau berkata bahawa Encik Noor “bukan siapa-siapa” atau ‘nobody’.

Menurut Cik Indranee, adalah jelas Encik Pritam dan calon Melayu/Islam lain tidak mengenali Encik Noor.

Namun terdapat perbezaan antara mengatakan bahawa Encik Faisal mungkin “pernah mendengar tentangnya” dengan mengatakan bahawa Encik Faisal “mengenalinya secara peribadi”.

Dalam pada itu, Encik Pritam berkata beliau ingin berhati-hati agar tidak “mengimport” pengetahuan Encik Faisal dan membuat kenyataan yang mungkin tidak tepat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg