Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majalah ‘Time’ senarai Grace Fu antara 100 pemimpin paling berpengaruh dalam tangani perubahan iklim

Oct 31, 2025 | 6:23 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, diiktiraf atas peranannya dalam memantau inisiatif utama penyesuaian iklim seperti perlindungan pantai, ketahanan air, dan keselamatan makanan.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, diiktiraf atas peranannya dalam memantau inisiatif utama penyesuaian iklim seperti perlindungan pantai, ketahanan air, dan keselamatan makanan. - Foto GRACE FU/FACEBOOK

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, disertakan dalam senarai ‘Time100 Climate 2025’, yang mengiktiraf pemimpin-pemimpin berpengaruh paling utama dalam mendorong tindakan iklim dalam sektor perniagaan.

Cik Fu, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, diiktiraf atas peranannya dalam memantau inisiatif utama dalam penyesuaian iklim seperti perlindungan pantai, ketahanan air dan keselamatan makanan, lapor The Straits Times (ST).

Beliau diumumkan dalam senarai tersebut pada 30 Oktober, bersama individu lain seperti Pope Leo XIV, Presiden Suriname, Cik Jennifer Geerlings-Simons, dan pelakon Samuel L. Jackson, dalam edisi ketiga senarai tahunan yang diterbitkan oleh majalah Time yang berpangkalan di New York.

Senarai ini mengiktiraf pembuat keputusan, eksekutif, penyelidik, dan penginovasi, yang telah mengusahakan pembiayaan dan sumber yang diperlukan untuk tindakan iklim, walaupun 2024 dilanda konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan.

Senarai ini diumumkan kurang dari dua minggu sebelum perbincangan Persidangan Iklim ke-30 (COP30) di Brazil, di mana hampir 200 negara akan membincangkan bagaimana mengehadkan perubahan iklim dan bersiap sedia untuk kesannya.

Dalam persidangan iklim sebelum ini, Cik Fu membantu memimpin perbincangan peringkat menteri yang penting, membuka jalan bagi sasaran lebih tinggi untuk mengurangkan gas rumah kaca dan meletakkan asas bagi pasaran karbon antarabangsa.

Secara khusus, beliau membantu rundingan sejagat mencapai kata sepakat mengenai perdagangan kredit karbon dalam mesyuarat COP yang diadakan di ibu kota Baku, Azerbaijan, Mesir, dan Glasgow.

Mengakui cabaran-cabaran terkini, Cik Fu memberitahu majalah Time, masih ada harapan untuk masa depan bumi kerana perkembangan positif terus berlaku walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Beliau menyebut tentang penurunan kos tenaga boleh diperbaharui, inovasi untuk menangani cabaran perubahan iklim seperti kenaikan paras laut dan haba, serta aktivisme iklim yang semakin berkembang di seluruh dunia yang dipacu oleh golongan muda.

Dalam satu catatan Facebook pada 31 Oktober, Cik Fu memberikan kredit kepada pengiktirafan oleh Time kepada pegawai-pegawai berdedikasi di seluruh kementerian dan agensi pemerintah yang bekerja tanpa mengenal penat lelah setiap hari untuk memajukan agenda iklim Singapura.

“Saya akan terus menjadi jurucakap, memperjuangkan kerja yang telah dicurahkan oleh ramai orang dengan sepenuh hati. Tindakan kolektif mereka telah meletakkan Singapura pada peta dunia,” katanya.

Beliau menyeru agar negara-negara bertindak untuk menangani perubahan iklim dengan mengurangkan atau mencegah pelepasan gas rumah kaca serta mengambil tindakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg