Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grace Fu: Kajian baru NUS bantu perkukuh keselamatan makanan rantau Asean

May 28, 2025 | 6:46 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, mendedahkan bahawa penyelidik di Singapura sedang menjalin kerjasama dengan negara-negara Asean bagi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas sektor pertanian rantau ini, sewaktu berucap di Dialog Singapura ke-12 mengenai Sumber Mampan Dunia, di Hotel One Farrer, Farrer Park, pada 28 Mei.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, mendedahkan bahawa penyelidik di Singapura sedang menjalin kerjasama dengan negara-negara Asean bagi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas sektor pertanian rantau ini, sewaktu berucap di Dialog Singapura ke-12 mengenai Sumber Mampan Dunia, di Hotel One Farrer, Farrer Park, pada 28 Mei. - Foto ST

Penyelidik di Singapura sedang menjalin kerjasama dengan negara-negara Asean bagi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas sektor pertanian rantau ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 28 Mei.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Sains Marin Tropika di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu akan membantu negara-negara agar lebih bersedia mengurus risiko iklim, supaya rantau ini dapat merancang tindak balas kepada kesan perubahan iklim dalam pengeluaran tanaman di peringkat nasional dan tempatan.

Kajian yang bermula pada 2024 itu dijangka selesai pada suku kedua 2026 dan akan menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan makanan rantau ini, tambah Cik Fu.

Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata demikian semasa Dialog Singapura ke-12 mengenai Sumber Mampan Dunia, anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).

Acara yang berlangsung di Hotel One Farrer di Farrer Park, menghimpunkan pengeluar dasar, pakar industri dan pemimpin pemikir untuk membincangkan peranan sektor hasil pertanian Asean dalam menangani cabaran kemampanan dan ekonomi yang kian meningkat.

Kementerian Kemampanan dan Sekitaran memberitahu The Straits Times (ST) bahawa Singapura telah mengusulkan sebuah kajian dijalankan mengenai kesan perubahan iklim ke atas sektor pertanian Asia Tenggara semasa Mesyuarat Peringkat Menteri Asean Mengenai Sekitaran dan Perhutanan ke-45 di Malaysia pada Oktober 2023.

Tujuan kajian itu adalah untuk memperkukuh daya tahan sistem makanan rantau ini menerusi kerjasama antara Singapura dan negara-negara Asean.

Kajian itu menggunakan unjuran iklim oleh Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) bagi menilai kesan fizikal perubahan iklim ke atas lima tanaman utama – jagung, padi, ubi kayu, tebu dan kacang soya.

Dapatan kajian ini dijangka memberi negara-negara Asean – yang turut menyumbang data kepada para penyelidik – gambaran tentang kesan perubahan iklim terhadap pengeluaran pertanian masa depan, termasuk hasil tuaian, daya penghasilan dan keluasan penanaman. 

Kajian itu juga akan mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil negara-negara Asean bagi menangani kesan perubahan iklim terhadap lima jenis tanaman utama tersebut.

Dalam ucaptamanya, Cik Fu menekankan kepentingan kerjasama antara negara-negara Asean, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan peraturan global serta gangguan rantaian bekalan dan halangan perdagangan yang kian kerap berlaku.

“Ketika perubahan iklim semakin meruncing dalam suasana dunia yang tidak menentu, keperluan untuk kerjasama lebih erat dalam kalangan negara Asean menjadi semakin penting,” ujarnya.

Salah satu bidang kerjasama itu adalah pengeluaran hasil pertanian, memandangkan negara-negara Asean merupakan antara pengeluar utama dunia bagi hasil seperti minyak sawit dan getah. Ia turut menjadi pemacu utama ekonomi rantau ini.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyumbang sekitar 10 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Asean dan terus menjadi sumber pekerjaan utama bagi penduduk rantau ini.

Singapura juga bekerjasama rapat dengan rakan serantau untuk membangunkan tanaman tahan iklim dan amalan pertanian mampan, tambah Cik Fu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg