Perniagaan, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME), perlu menumpukan pada penyusunan semula tugas, penggunaan teknologi dan transformasi perniagaan jangka panjang.

Ia bagi memastikan operasi tidak terlalu bergantung kepada satu individu apabila cuti penjagaan anak yang baharu dilaksanakan nanti.

Ini kerana mereka bakal berdepan dengan dua cabaran praktikal iaitu mengekalkan kesinambungan operasi apabila pekerja bercuti, dan menguruskan kerumitan perancangan tenaga kerja tambahan yang timbul daripada kelayakan cuti yang berbeza.

Demikian kata persatuan perdagangan dan majikan apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Berkongsi pandangan, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata, perniagaan milik Melayu/Islam perlu mula mengorak langkah awal dalam perancangan tenaga kerja.

“Bagi perniagaan kecil, antara langkah yang boleh diambil ialah melatih pekerja untuk mengendalikan lebih daripada satu peranan, memperkemaskan proses kerja dan menggunakan teknologi digital supaya operasi tidak terlalu bergantung kepada seorang individu sahaja.

“Majikan perlu memastikan terdapat garis panduan yang jelas dan sistem penjadualan yang adil, supaya beban kerja tidak berulang kali jatuh kepada pekerja yang sama, terutama pekerja yang tidak mempunyai anak,” kata DPPMS.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos, antara lain, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa setiap ibu bapa yang bekerja dan mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah akan menerima Cuti Penjagaan Anak (CCL) antara lapan hingga 12 hari setahun, bergantung pada jumlah anak.

Sebelum ini, ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun masing-masing layak mengambil CCL sebanyak dua hari.

Syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Holdings (ARH), yang mempunyai tenaga kerja seramai 15 kakitangan di Singapura, merancang memantapkan sistem operasi mereka agar tidak berat sebelah kepada mana-mana satu individu.

“Ini termasuk menyediakan sistem rakan sokongan, mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, mengenal pasti pekerja pengganti bagi fungsi-fungsi penting, serta menambah baik cara tugas didokumenkan dan diserahkan.

“Kami juga akan menggalakkan pekerja untuk memberikan notis awal sekiranya keperluan penjagaan anak mereka boleh dijangka,” kata Ketua Pegawai Operasi ARH, Cik Nabilah Bagarib.

Cik Nabilah menambah, syarikatnya akan mengekalkan sedikit fleksibiliti dan membezakan antara tugas yang benar-benar mendesak dengan tugas yang boleh ditangguhkan seketika.

Beliau akan mengadakan perbincangan terbuka dengan semua ahli pasukan mengenai keutamaan tugasan pengganti, kerja yang boleh ditangguhkan, dan bagaimana tanggungjawab tambahan boleh diagihkan secara adil.

“Jangkaan dan had kemampuan perlu dikomunikasikan secara jelas, dengan beban kerja disemak secara berkala,” kongsi Cik Nabilah.

Sementara itu, Pengarah Rumah Makan Minang, Encik Muhamad Hazmi Mohamad Zin, memberitahu BH bahawa terdapat isu dalam memastikan tenaga kerja yang cukup.

“Sebagai pekerja, sudah tentu kami alu-alukan langkah baharu ini dan gembira dengan manfaat tambahan yang diberikan.

“Tetapi sebagai majikan, susah, kerana masalah besar yang dialami perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan perniagaan warisan seperti kami adalah kesukaran mendapat tenaga kerja, terutama pekerja tempatan yang mampu bekerja pada hujung minggu.

“Saya berharap pemerintah dapat sokong keperluan operasi perniagaan selain menyokong kesejahteraan pekerja dan keluarga mereka,” kata Encik Hazmi.

Dalam hal ini, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) berpendapat Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TAC) boleh memainkan peranan dengan mengumpulkan permintaan bagi huraian tenaga kerja secara bersama, yang mungkin tidak dapat disediakan oleh SME secara individu.

“Ini boleh dilengkapi dengan panduan khusus sektor, pendekatan tenaga kerja bersama serta sokongan pendigitalan, agar manfaat daripada langkah-langkah ini dapat dirasai oleh ibu bapa dan juga perniagaan,” kongsi Pengerusi SBF, Encik Mark Lee.

Demikian disetujui Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), Encik Ang Yuit, yang menyarankan agar kumpulan tenaga kerja barisan hadapan yang terlatih diwujudkan, untuk dimanfaatkan oleh SME dalam industri seperti peruncitan, F&B, serta perkhidmatan pergigian, bagi mendapatkan tenaga kerja ganti jangka pendek apabila diperlukan.

Selain itu, Encik Ang menambah, majikan juga boleh mempertimbangkan insentif atau pampasan yang sesuai berdasarkan apa yang terbaik untuk perniagaan dan pekerja mereka.

“SME patut merancang lebih awal dan mengenal pasti tugas yang boleh dikongsi dalam kalangan anggota pasukan apabila seseorang mengambil cuti,” kata beliau.

Dalam mewujudkan tenaga kerja tambahan, Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), berkata ia telah bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada awal 2026, untuk menubuhkan Perikatan untuk Tindakan Memajukan Perkhidmatan Kerjaya dan Pekerjaan (AfA-ACES).

Ini demi “meneroka penyelesaian yang dapat menyokong keperluan tenaga kerja majikan dengan lebih baik, termasuk menyediakan akses kepada sokongan kakitangan sementara apabila diperlukan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Snef, Encik Hao Shuo.

Sementara itu, bagi sesetengah majikan seperti PropNex yang mempunyai pasukan besar, perubahan terkini tidak akan begitu menjejas operasi syarikat ejen hartanah itu.

Pengerusi Eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor, berpendapat inisiatif baharu itu adalah sesuatu yang positif kerana hanya dengan kesihatan mental yang baik dan keluarga yang bahagia, kakitangan dapat memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada sebarang pertubuhan.

“Kami mempunyai bilangan kakitangan yang mencukupi untuk menampung tugas apabila ada pekerja yang mengambil cuti (penjagaan anak).

“Mungkin kerana PropNex merupakan sebuah syarikat yang agak besar dan kami adalah syarikat tersenarai, jadi saya tidak fikir dasar ini akan menjejaskan operasi kami secara besar-besaran,” ujar Encik Ismail.

Di bawah pengumuman baharu itu juga, pemerintah akan menanggung sepenuhnya kos kesemua cuti tambahan penjagaan anak sehingga had maksimum bayaran balik, berbanding aturan perkongsian kos sedia ada di mana majikan menanggung sebahagian daripada kos tersebut.

Ini bermakna majikan akan dibayar balik pada kadar sehingga $500 sehari, atau $1,500 setahun, bagi cuti penjagaan anak, umum Encik Wong dalam ucapannya semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) itu.

Justeru, ASME menyarankan agar “pemerintah boleh mempertimbangkan untuk mempercepat dan mempermudah proses tuntutan, agar SME dapat menerima sokongan dengan lebih cepat apabila pekerja mengambil cuti”.

Pandangan itu dikongsi Cik Nabilah yang berkata: “Proses tuntutan perlu mudah dan pantas, dan majikan perlu diberikan masa serta bimbingan yang secukupnya, untuk membuat persiapan menghadapi pengaturan baharu ini.”

“Bagi perniagaan kecil, antara langkah yang boleh diambil ialah melatih pekerja untuk mengendalikan lebih daripada satu peranan, memperkemaskan proses kerja dan menggunakan teknologi digital supaya operasi tidak terlalu bergantung kepada seorang individu sahaja.”
Kenyataan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

“Saya berharap pemerintah dapat sokong keperluan operasi perniagaan selain menyokong kesejahteraan pekerja dan keluarga mereka.”
Encik Muhamad Hazmi Mohamad Zin, Pengarah Rumah Makan Minang.

“SME patut merancang lebih awal dan mengenal pasti tugas yang boleh dikongsi dalam kalangan anggota pasukan apabila seseorang mengambil cuti.”
Encik Ang Yuit, Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME).