MAJIKAN pemegang permit kerja bukan warga Malaysia kini boleh berkongsi kos Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan ujian Covid-19 yang perlu dijalankan dengan majikan lain yang mengambil pekerja yang sama dalam tempoh 12 bulan.
Mengumumkan demikian semalam, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kos itu boleh dikongsi jika pekerja itu dipindahkan ke majikan lain dalam tempoh 12 bulan selepas selesai menjalani SHN.
Ini bertujuan memberi manfaat kepada majikan dalam semua sektor, kata MOM.
Langkah itu diumum menyusuli satu saranan pada September lalu agar majikan yang mengambil pembantu rumah yang dipindahkan daripada majikan lain berkongsi kos SHN dan ujian Covid-19 yang perlu mereka jalani.
Jumlah yang dikongsi tidak boleh lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh majikan sekarang.
Kedua-dua majikan sekarang dan majikan baru perlu menandatangani perjanjian bertulis dan menyimpannya selama setahun dari tarikh perjanjian itu dibuat dan memberikannya kepada MOM jika diminta melakukan demikian untuk membuktikan bahawa mereka tidak menerima lebih daripada apa yang telah dibayar.
MOM menyarankan majikan pembantu rumah menanggung kos yang setara dengan tempoh pemegang permit kerja itu bekerja dengan mereka sepanjang tempoh 12 bulan itu.
Misalnya, majikan A membayar $1,800 bagi SHN dan ujian Covid-19 pekerjanya namun pekerja itu bekerja dengannya selama enam bulan sebelum dipindahkan untuk bekerja dengan majikan B.
Ini bermakna jika kedua-dua majikan bersetuju untuk berkongsi kosnya mengikut tempoh pekerja itu bekerja dengan mereka, majikan A perlu menanggung kos sebanyak $900 dan menuntut lagi $900 daripada majikan B.
MOM berkata majikan yang menggunakan khidmat agensi bagi pemindahan pekerja itu harus mendapatkan agensi tersebut untuk membantu dengan perkongsian kos itu.
Tambahnya, langkah itu tidak dikenakan kepada pemegang permit kerja warga Malaysia kerana mereka boleh menukar majikan tanpa perlu mendapatkan kebenaran majikan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg