Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majikan perlu ubah nilai, persepsi pekerja gaji rendah

Oct 14, 2024 | 8:48 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad. - Foto fail

Bagi menjayakan Model Gaji Progresif (PWM), majikan mesti mengubah perniagaan dan pekerjaan mereka, serta menyokong peningkatan kemahiran dan kemahiran semula pekerja secara berterusan.

Pekerja juga perlu melakukan bahagian mereka dengan menerima perubahan dan bersikap terbuka untuk bekerja dengan teknologi, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen pada 14 Oktober.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul penangguhan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Raj Joshua Thomas, yang mengulas tentang cara PWM menilai semula kerja yang dilakukan dalam sektor bergaji rendah.

Encik Raj berkata PWM membantu bukan sahaja dari segi gaji, tetapi juga dari segi kemajuan kerjaya dan persepsi pekerjaan dalam sektor ini, serta sumbangannya kepada ekonomi Singapura.

Bersependapat dengannya, Encik Zaqy berkata rakan kongsi tiga pihak menyedari bahawa gaji dalam beberapa pekerjaan tidak berubah, terutamanya dalam sektor khidmat luar seperti pembersihan, keselamatan dan landskap pada 2014.

Pada masa yang sama, pekerja mendapati diri mereka kukuh dalam pekerjaan yang sama dengan sedikit peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kemajuan.

Justeru, PWM mandatori pertama pada 2014 dalam sektor pembersihan telah dilaksanakan oleh NTUC, disusuli sektor landskap dan keselamatan pada 2016.

Encik Zaqy berkata gaji terkumpul sebenar pekerja tempatan dalam sektor PWM awal ini meningkat sebanyak 31 peratus dari 2014 hingga 2019, mengatasi pertumbuhan gaji pekerja pada persentil ke-20 pada 23 peratus.

“Ini memberikan kami keyakinan dan kami terus mengembangkan PWM kepada sektor lif dan penyelenggaraan eskalator pada 2019,” kata beliau.

Beliau memberi contoh bahawa antara cabaran dalam meningkatkan gaji bagi pekerja bergaji paling rendah dalam sektor domestik, seperti perniagaan runcit di kawasan kejiranan.

Pemerintah menerima saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak untuk mengembangkan PWM kepada lebih banyak sektor, seperti perkhidmatan makanan dan peruncitan serta pekerjaan yang termasuk pentadbir dan pemandu.

“Rakan kongsi tiga pihak kerap menyemak tangga kemahiran, sementara pekerja dikehendaki mengikuti latihan dan digalakkan untuk mengambil peranan dengan nilai lebih tinggi.

“Perniagaan juga mempunyai peranan penting, dalam mengubah model perniagaan, menambah baik operasi dan mereka bentuk semula pekerjaan,” kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy juga akur bahawa PWM bukan sekadar menaikkan gaji, tetapi juga meningkatkan nilai tambah pekerjaan.

Beliau berkata sedemikian dalam menjawab seruan Encik Raj untuk menilai semula kepentingan pekerjaan dan gaji yang setimpal dengannya.

“Kepentingan ditekankan pada pengajian tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.

“Oleh itu, wajar bagi pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan akademik untuk mendapatkan gaji yang rendah.

“Dalam erti kata lain, pekerjaan ini dinilai rendah dari segi betapa pentingnya tugasan yang dijalankan dan oleh itu berapa banyak gaji yang harus dibayar kepada pekerja. Mereka juga dianggap pekerjaan dengan status sosioekonomi (SES) rendah”, kata Encik Raj.

Encik Zaqy turut mendapati pekerja bergaji rendah merentas sektor ingin kerja mereka dihargai oleh masyarakat.

Melangkah ke hadapan, Encik Zaqy berharap lebih ramai pekerja dapat melihat peningkatan yang ketara dan dari masa ke masa, gaji untuk pekerja yang mempunyai peranan dalam pekerjaan yang berperingkat tinggi boleh ditentukan oleh kuasa pasaran.

“Rakan kongsi tiga pihak kerap menyemak tangga kemahiran, sementara pekerja dikehendaki mengikuti latihan dan digalakkan untuk mengambil peranan dengan nilai lebih tinggi. Perniagaan juga mempunyai peranan penting, dalam mengubah model perniagaan, menambah baik operasi dan mereka bentuk semula pekerjaan.”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg