Bilangan firma yang memberi kenaikan gaji kepada kakitangan mereka menyaksikan kemerosotan pada 2023.
Ia turun daripada 72.2 peratus pada 2022 kepada 65.6 peratus pada 2023, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 25 Jun.
Ini meskipun perkadaran perniagaan yang meraih keuntungan kekal tinggi pada 82.1 peratus pada 2023, daripada 83.9 peratus pada 2022.
Lebih banyak perniagaan yang menguntungkan turut melaporkan kemerosotan dalam keuntungan mereka bagi 2023 (26.8 peratus) berbanding 2022 (22 peratus), kata MOM lagi.
“Melihat pada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, lebih banyak perniagaan melaporkan bahawa mereka kurang menguntungkan berbanding pada 2022,” kata MOM.
Sementara itu, bilangan perniagaan yang memotong gaji pekerja meningkat kepada 6.5 peratus pada 2023 berbanding 5.2 peratus pada 2022, manakala sebanyak 27.9 peratus lagi mengekalkan gaji yang sama, menurut laporan amalan gaji terkini kementerian itu.
Dalam kalangan perniagaan ini, magnitud purata kenaikan gaji juga berkurang kepada 7.2 peratus pada 2023, daripada 7.9 peratus pada 2022
Saiz purata pemotongan gaji juga meningkat, kepada 6.2 peratus daripada 4.5 peratus.
Sehubungan itu, kadar pertumbuhan gaji yang sederhana juga dapat dilihat merentas semua jenis pekerja pada 2023 berbanding 2022.
Apabila dikumpulkan mengikut peranan dan pangkat, pertumbuhan gaji menyaksikan kadar yang sederhana merentas pekerja berpangkat rendah, pengurusan rendah dan pengurusan kanan, tambah MOM.
Pekerja berpangkat rendah menyaksikan pertumbuhan gaji sebanyak 4.8 peratus, manakala pekerja pengurusan rendah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus pada 2023.
Bagaimanapun, kelembapan dalam pertumbuhan gaji lebih ketara dalam kalangan pengurusan kanan, mencecah 4.6 peratus pada 2023, turun daripada 6.7 peratus pada 2022.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan gaji berterusan untuk pekerja berpendapatan rendah, kerana Kelayakan Gaji Setempat (LQS) akan dinaikkan daripada $1,400 kepada $1,600 untuk penduduk yang bekerja sepenuh masa pada 2024,” tambah MOM.
Menurut MOM lagi, tinjauan yang dijalankan pada suku pertama 2024 menunjukkan bilangan rendah perniagaan yang berhasrat menaikkan gaji dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Peratusan firma yang berniat menaikkan gaji berkurang daripada 32.6 peratus pada Disember 2023 kepada 26.1 peratus pada Mac 2024.
“Secara seimbang, kami menjangkakan pertumbuhan gaji nominal pada 2024 kekal sama dengan 2023.
“Dengan inflasi dijangka kekal pada aliran menyederhana secara beransur-ansur, kami menjangkakan peningkatan dalam pertumbuhan gaji sebenar,” tambah MOM.
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) akan bersidang pada Ogos 2024 untuk menyediakan garis panduan bagi kenaikan gaji yang mencerminkan prestasi firma dan sumbangan pekerja.
Pemerintah menggesa perniagaan di sini meneruskan transformasi perniagaan dan tenaga kerja serta menggunakan sepenuhnya program yang disediakan pemerintah untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan.
Semua perniagaan digalakkan melaksanakan Sistem Gaji Fleksibel (FWS) dalam melaraskan gaji berdasarkan prestasi. Mereka boleh merujuk kepada Buku Panduan FWS di laman MOM untuk maklumat lanjut.
“Untuk pertumbuhan gaji yang mampan, ia mesti terus disokong oleh peningkatan produktiviti yang setimpal,” ujar MOM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg