Penduduk yang tinggal di GRC Jalan Besar boleh mengharapkan kejiranan mereka menjadi lebih hijau dan cekap tenaga dalam lima tahun akan datang, dengan lebih banyak pencahayaan LED pintar dan pokok-pokok yang akan ditanam.
Kemampanan menjadi tonggak utama dalam pelan induk majlis perbandaran ini, dari 2026 hingga 2030, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, semasa pelancaran pelan tersebut pada 6 April.
Jalan Besar adalah majlis perbandaran penyelaras untuk Tindakan bagi Bandar Hijau atau Action for Green Towns di 15 majlis perbandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan akan mengetuai usaha menekankan kemampanan dalam menyokong Pelan Singapura Menghijau 2030, kata majlis perbandaran itu.
Lebih banyak ruang bersama juga akan diwujudkan dalam beberapa tahun mendatang untuk dinikmati semua generasi, seperti taman kejiranan yang dipertingkatkan, taman permainan untuk kanak-kanak, sudut kecergasan untuk orang dewasa dan warga emas, serta jalan raya yang mesra pejalan kaki, lapor The Straits Times (ST).
Banyak kemudahan yang dipertingkatkan ini akan berada di kededua kawasan awam dan privet, bagi memastikan ramai penduduk di kawasan tersebut dapat menikmatinya, tambah majlis perbandaran itu.
Acara pelancaran pelan induk pada 6 April menawarkan pratonton lebih daripada 100 projek dan kemudahan yang dicadangkan untuk lima tahun akan datang. Matlamatnya juga adalah untuk menjadikan Jalan Besar kejiranan dengan masyarakat yang lebih terangkum di kalangan penduduknya.
Merupakan salah satu GRC tertua di Singapura, kejiranan itu juga akan dinaik taraf bagi menyertakan ciri-ciri penunjuk arah seperti motif dan zon berwarna untuk membantu penduduk, terutama mereka yang menghidap demensia.
Bagi penduduk dengan keperluan pergerakan, akan ada laluan mesra kerusi roda dan akses yang lebih bebas halangan seperti laluan cerun dan bantuan tambahan.
Pelan induk ini menekankan hubungan kukuh antara penduduk muda dengan warga emas, menggabungkan kawasan lama dan baru, dengan banyak perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) baru dibangunkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Majlis Perbandaran Jalan Besar berkata dalam membangunkan pelan induknya, mereka telah memulakan usaha penglibatan selama berbulan-bulan lamanya untuk mengumpulkan pandangan daripada agensi pemerintah dan lebih 3,000 penduduk melalui temu bual di jalanan.
Mengumumkan pelan tersebut pada 6 April, Cik Teo, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Jalan Besar, berkata ia lebih daripada sekadar projek majlis perbandaran kerana ia juga milik penduduk.
Berucap pada pelancaran itu, Cik Teo, berkata penduduk telah meluangkan masa dan usaha untuk berkongsi visi mereka bagi bandar ini, “dan kami mendengarnya”.
Majlis Perbandaran tersebut turut mempamerkan pembangunan dan penambahbaikan di kawasan ini dalam lima tahun kebelakangan ini.
Sejak 2021, majlis perbandaran telah menambah dan menaik taraf pelbagai kemudahan di GRC Jalan Besar yang memberi manfaat kepada lebih 53,000 rumah. Ini termasuk 62 lif baru dan dinaik taraf, empat pasar dan pusat penjaja yang dinaik taraf, serta 439 blok dilengkapi panel solar.
Projek utama oleh agensi pemerintah lain termasuk enam stesen MRT di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Circle, serta laluan jalan bawah Kallang Bahru.
Pasar dan pusat penjaja Golden Mile dan Beo Crescent yang dinaik taraf juga menawarkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa untuk pelanggan dan peniaga, kata majlis perbandaran itu.
Sebanyak 78 blok lagi dinaik taraf di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP), memberi manfaat kepada lebih 8,200 rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg