Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerakan hijau makin rancak dalam masyarakat

Kesedaran tentang cara kitar semula, kurangkan sisa masih perlu dipertingkat
Feb 9, 2025 | 5:30 AM
Masjid Al-Mawaddah di Sengkang berjaya mengumpul lima tan barang daripada inisiatif kitar semula yang diadakan pada 1 Februari, termasuk hiasan yang mengandungi ayat Al-Quran.
Masjid Al-Mawaddah di Sengkang berjaya mengumpul lima tan barang daripada inisiatif kitar semula yang diadakan pada 1 Februari, termasuk hiasan yang mengandungi ayat Al-Quran. - Foto BM oleh KHALID BABA

Menjelang Ramadan, tumpuan beralih kepada persiapan rohani dan materi. Dalam menghidupkan tradisi perayaan, terdapat kebimbangan mengenai penggunaan secara berlebihan dan pembaziran. Daripada fesyen baju kurung mampan kepada inisiatif kitar semula di masjid, pelbagai usaha yang dilakukan telah menandakan rentak semakin pantas dalam gerakan hijau. BERITA MINGGU meninjau pelbagai usaha ini.

Ramadan bakal tiba dan ramai keluarga Melayu/Islam mula mengemas rumah agar tidak perlu bersusah-susah menjelang Syawal nanti.

Apabila mengemas, pasti ada barang yang dinilai masih berguna atau berharga dan ada pula barang yang sudah sampai ke penghujung hayat atau tidak dimahukan lagi.

Dengan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan warga dengan adanya Pelan Hijau Singapura 2030 yang antara lain menetapkan sasaran mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2030, ramai orang kini didapati mengitar semula barang yang tidak lagi diingini.

Satu kajian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 2023 menunjukkan bahawa 72 peratus isi rumah mengitar semula barangan, naik daripada 64 peratus pada 2021.

Mengitar semula juga mudah dilakukan dengan adanya tong kitar semula berwarna biru di estet perumahan.

Kertas, logam, plastik dan gelas boleh dikitar semula.

Sebaliknya, kertas tisu, barang bersaiz besar, stirofoam dan bekas yang mempunyai sisa makanan tidak boleh dikitar semula.

Barang yang boleh digunakan semula, seperti beg, pakaian atau kasut pula digalakkan untuk didermakan.

Pelbagai cara kitar semula

Inisiatif kitar semula di beberapa masjid serata negara boleh menerima barang-barang tersebut.

Selain kertas, buku dan kadbod, daya usaha yang dijalankan turut menerima fabrik, pakaian dan tekstil seperti cadar katil dan langsir.

Periuk belanga pelbagai saiz juga boleh dihantar untuk dikitar semula.

Begitu juga buku agama dan Al-Quran, termasuk hiasan yang mengandungi ayat Al-Quran, tetapi dengan bayaran mengikut berat.

Masjid Al-Mawaddah di Sengkang berjaya mengumpulkan lima tan barangan daripada inisiatif kitar semula yang diadakan pada 1 Februari, dengan kebanyakannya merupakan pakaian.

Menurut pengerusi eksekutif masjid itu, Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan, usaha itu mendapat sambutan bukan sahaja daripada penduduk Sengkang bahkan juga dari estet lain.

“Kami gembira melihat orang datang bertali arus menghantar barang untuk dikitar semula. Berbanding tahun sebelumnya yang mana kami menganjurkan usaha ini sekali sahaja, mulai 2025, kami akan mengadakannya setiap tiga bulan kerana terdapat permintaan daripada jemaah dan masyarakat,” kata Ustaz Firdaus Khan.

Eksekutif pembangunan sosial masjid daerah timur, Cik Nur Syafiiqah Musa, berkata usaha kitar semula di masjid dapat membantu dalam mengumpulkan buku agama, hiasan yang mengandungi ayat Al-Quran dan kitab Al-Quran lama yang boleh dikitar semula dengan cara yang betul.

“Ramai anggota masyarakat tidak pasti bagaimana membuang barang-barang ini dengan betul.

“Jadi mereka biasanya meninggalkannya sahaja di pintu masjid.

“Kami mencari rakan kongsi kitar semula yang sejajar dengan nilai kami dalam memastikan barang-barang ini dibuang dengan tertib dan rapi,” katanya.

Barang yang dikumpul itu kemudian diambil rakan kongsi seperti Renewed Resources Pte Ltd dan dibawa ke gudang.

Menurut pengarah syarikat itu, Encik Hamka Ariffin, kotak dan kertas dihantar ke pusat mengitar semula kertas manakala barang logam seperti periuk diproses di kemudahan mengitar semula logam.

Pakaian pula dibeli oleh pengitar tempatan untuk diguna semula, diguna dalam cara lain atau diberi kepada golongan memerlukan.

Buku yang masih dalam keadaan baik akan dijual kepada sesiapa yang berminat atau diberikan kepada golongan memerlukan.

Barang lain yang sering dibuang anggota masyarakat Islam termasuk telekung dan sejadah, kata pengasas syarikat mengumpul barang yang tidak diingini, Declutter.sg, Encik Khairul Anwar Ahmad Mahbob.

“Kumpulan agama lain tidak menggunakan pakaian atau peralatan sedemikian.

“Jika tidak diuruskan dengan betul, ia menyumbang kepada konsumerisme dan sisa.

“Daripada membuangnya, kita boleh mengitar fabrik di tong kitar semula berwarna kuning,” katanya.

Sementara itu, tong mengitar semula fabrik, Kloth Cares di beberapa masjid di serata Singapura telah mengumpul sejumlah 135,357.3 kilogram tekstil dalam tempoh hampir dua tahun ia dilaksanakan.

Cik Nurani Yusuf, 35 tahun, yang telah mula mengemas rumah sebagai persiapan menjelang Ramadan telah menghantar pakaian, beg, kasut dan cadar katil yang tidak digunakan lagi ke tong Kloth Cares untuk dikitar semula.

“Saya memilih untuk mengitar semula dengan Kloth Cares kerana saya tahu semua fabrik yang saya berikan itu akan digunakan semula dan tidak akan dibuang dan dibakar,” katanya yang juga mengitar barang lain di tong kitar semula berwarna biru.

Fabrik yang dikumpul di tong mengitar semula fabrik, Kloth Cares, dipilih dan diagihkan kepada  lebih 500 kategori dan diberi gred.
Fabrik yang dikumpul di tong mengitar semula fabrik, Kloth Cares, dipilih dan diagihkan kepada lebih 500 kategori dan diberi gred. - Foto KLOTH

Cabaran budayakan amalan kitar semula

Sedang kesedaran mengenai kemampanan alam sekitar semakin meluas dengan adanya inisiatif Pelan Hijau 2030 dan pelbagai inisiatif oleh masjid dan pertubuhan lain, masih ada perkara yang boleh dibaiki di peringkat individu, kata anggota lembaga Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Nur Khadijah Ramli.

Beliau, yang juga Duta Hijau Pergas berkata di peringkat individu, penerapan amalan kitar semula masih memerlukan usaha lebih lanjut.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai Duta Hijau Pergas yang telah menganjurkan beberapa kursus bersama masyarakat Islam Singapura, saya mendapati bahawa keprihatinan terhadap kitar semula, terutamanya dalam kalangan suri rumah, masih belum berada di tahap yang memberangsangkan.

“Salah satu cabaran yang dihadapi adalah keperluan untuk membersihkan dan mengasingkan barangan sebelum dikitar semula, yang mungkin dianggap sebagai sesuatu yang menyusahkan,” kata Ustazah Nur Khadijah.

“Oleh itu, usaha yang lebih bersepadu diperlukan untuk membudayakan gaya hidup yang mampan di dalam rumah. Ia bukan hanya tanggungjawab individu semata-mata, tetapi juga harus disokong oleh anggota keluarga,” tambahnya.

Menjelang Ramadan dan Syawal, masjid juga menghadapi cabaran berhubung penggunaan plastik dalam pengagihan bubur dan penyajian juadah berbuka puasa.

“Untuk mengurangkan penggunaan plastik, ia memerlukan kerjasama daripada sukarelawan yang sanggup mencuci peralatan yang digunakan semula.

“Namun, mencuci juga memerlukan penggunaan air yang banyak, yang turut menjadi isu dalam aspek kemampanan,” kata Ustazah Nur Khadijah.

“Oleh itu, banyak faktor perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan sama ada untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan plastik atau mencari alternatif yang lebih mampan.

“Kesedaran dan pemahaman masyarakat juga amat penting dalam memastikan kejayaan usaha ini.

“Justeru, usaha mendidik masyarakat harus dilakukan secara berperingkat agar masjid-masjid akhirnya dapat melaksanakan inisiatif pengurangan penggunaan plastik, khususnya di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, usaha mengurangkan sisa juga melibatkan pemilihan yang tepat.

Justeru ketika membeli baju Hari Raya, pereka Cik Nur Hafizah Ghazali menyarankan pakaian Raya yang tak lapuk dek zaman dan boleh digunakan dengan pakaian harian.

Pakaian itu juga harus sesuai dengan gaya peribadi seseorang dan bukan dibeli kerana ia kelihatan cantik atau menarik dalam iklan.

Pengasas jenama pakaian Hafizah Ghazali itu juga menyarankan agar mencari pakaian yang bermutu dan tahan lasak agar boleh digunakan buat tempoh yang lama.

“Elak daripada membeli pakaian daripada jenama fast fashion (pakaian kini yang murah dan tersedia secara meluas), kerana ia tidak tahan lama.

Daripada segi desain, cari potongan klasik yang cantik dipakai kebanyakan bentuk badan, dan pilih warna yang mudah dipadankan dengan warna lain,” katanya yang menitikberatkan aspek penghasilan pakaian yang mesra alam dan mengikut etika seperti mengurangkan penggunaan plastik bagi pakaian yang dijual.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg