Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis bandaran usaha baiki retak di blok Jalan Tenaga

Dec 23, 2024 | 6:12 PM
Sekurang-kurangnya empat isi rumah yang tinggal di tingkat atas di estet Jalan Tenaga di Bedok mengalami keretakan pada flat mereka.
Sekurang-kurangnya empat isi rumah yang tinggal di tingkat atas di estet Jalan Tenaga di Bedok mengalami keretakan pada flat mereka. - Foto ST

Majlis Bandaran Aljunied-Hougang sedang berusaha untuk membaiki rekahan pada siling yang muncul di beberapa blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jalan Tenaga, Bedok.

Anggota Parlimen (AP) Aljunied GRC, Encik Pritam Singh, menyatakan dalam hantaran di Facebook pada 20 Disember bahawa majlis bandaran tersebut menerima tujuh laporan daripada penduduk mengenai rekahan sebelum kerja penukaran bumbung dimulakan pada September, dan lima laporan selepas kerja tersebut bermula.

“Majlis bandaran sedang bekerjasama dengan kontraktor, Solely, bagi menyelesaikan isu ini dengan segera,” kata Encik Pritam, sambil menambah bahawa penduduk harus memaklumkan majlis bandaran itu jika ada sebarang rekahan di unit mereka.

Majlis bandaran bertanggungjawab untuk penyelenggaraan harta benda di kawasan perumahan HDB, termasuk bumbung blok perumahan awam.

The Straits Times (ST) melaporkan pada 13 Disember bahawa sekurang-kurangnya empat penduduk di kawasan berhampiran Bedok Reservoir menyedari mengenai rekahan di rumah mereka selepas kerja penukaran bumbung bermula.

Mereka bimbang tentang kekuatan struktur blok tersebut, yang dibina antara 1992 dengan 1993.

Kerja penukaran bumbung telah dimulakan di 17 blok.

Kerja itu biasanya melibatkan penghakisan permukaan bumbung dan menggantikannya dengan membran kalis air baru.

Encik Pritam juga berkata Blok 601 hingga 629 dan Blok 101 hingga 121 akan menjalani kerja penukaran bumbung tidak lama lagi.

Jadual kerja akan dipaparkan di semua blok yang terjejas, dengan mengambil kira pemasangan panel solar yang sedang dilakukan di bumbung beberapa blok.

“Jangan ragu-ragu untuk mengemukakan isu mengenai rekahan atau kebocoran yang sedang berlaku.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menangani masalah ini buat sementara waktu,” kata Encik Pritam.

Sebelum ini, majlis bandaran itu memberitahu ST kerja penukaran bumbung di Jalan Tenaga adalah sebahagian daripada kerja yang perlu dilakukan setiap 14 tahun.

Kerja tersebut dijangka siap pada suku kedua 2025, bergantung pada keadaan cuaca.

“Jangan ragu-ragu untuk mengemukakan isu mengenai rekahan atau kebocoran yang sedang berlaku. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menangani masalah ini buat sementara waktu.”
Anggota Parlimen (AP) Aljunied GRC, Encik Pritam Singh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg