Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis berbuka SPS, NeuGen bawa keceriaan kepada lebih 100 keluarga bekas pesalah

Faishal: Relawan, rakan masyarakat akan terus anjur pelbagai program bagi sokong golongan ini
Mar 14, 2025 | 4:25 PM
Cik Nur (bukan nama sebenar) hadir bersama tiga anak lelakinya pada acara berbuka puasa di Grand Ballroom, HomeTeam NS Khatib, anjuran Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan NeuGen Fund (NeuGen) pada 13 Mac.
Cik Nur (bukan nama sebenar) hadir bersama tiga anak lelakinya pada acara berbuka puasa di Grand Ballroom, HomeTeam NS Khatib, anjuran Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan NeuGen Fund (NeuGen) pada 13 Mac. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Di satu sudut dewan, Cik Nur (bukan nama sebenar) duduk bersama tiga anaknya, sambil tersenyum memerhatikan mereka menikmati hidangan berbuka. 

Namun, di sebalik senyuman itu, tersirat kisah ketabahan seorang wanita yang bertahun-tahun berjuang sendirian.

Sejak suaminya dipenjarakan beberapa tahun lalu, beliau menjadi pencari nafkah tunggal untuk anak-anaknya yang masih bersekolah. 

Sementara keluarga lain di sekeliling dapat bersatu semula, Cik Nur dan anak-anaknya berbuka puasa tanpa kehadiran suami dan ayah dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan NeuGen Fund (NeuGen) pada 13 Mac. 

Diadakan di Grand Ballroom di HomeTeam NS Khatib, majlis yang menghimpunkan lebih 100 keluarga bekas pesalah itu turut disertai tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) sebelum waktu berbuka, Cik Nur, 48 tahun, berkata: “Saya sudah terlalu lama dan asyik menanggung semuanya sendirian. Anak-anak membesar tanpa ayah di sisi. Saya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah untuk mereka.

“Kewangan sentiasa menjadi satu cabaran buat kami. Saya harus fikirkan tentang keperluan harian, yuran sekolah anak-anak dan keperluan harian kami – semua kos ini semakin meningkat.”

Anak-anaknya berusia 20, 18, 17 dan 11 tahun. Sejak anak bongsunya berusia setahun, suaminya kerap keluar masuk penjara akibat terjerumus dalam kancah dadah, meninggalkan beliau untuk membesarkan anak-anak sendirian.

Dengan pendapatan yang kecil, ia tidak cukup untuk menampung segala keperluan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah hakikat kehidupan keluarga lima beranak itu. 

Beban Cik Nur, yang berhempas pulas bertukar pekerjaan demi sesuap nasi, akhirnya berkurangan setelah diperkenalkan kepada NeuGen oleh rakannya yang turut menerima sokongan daripada pertubuhan tersebut.

Kini, sudah lima tahun beliau menerima sokongan kewangan dan pendidikan dari NeuGen. 

Cik Nur mengakui bahawa tanpa bantuan NeuGen “agak mustahil untuk menghantar anak-anak ke akademi bola sepak”. 

Dengan sokongan NeuGen melaui tajaan kegiatan selepas sekolah, anak bongsunya berpeluang mewakili Singapura dalam satu pertandingan di Sweden – impian yang sebelum ini kelihatan mustahil.

Air matanya menitis saat ditemu bual, terutama ketika mengenang bagaimana anak-anaknya membesar tanpa kehadiran seorang ayah. 

Sepanjang temu bual itu, sesekali beliau menoleh ke arah anak-anaknya di hujung dewan, seakan-akan mencari kekuatan setiap kali berkongsi tentang cabaran keluarganya – dan setiap kali, senyuman kecil terukir di wajahnya.

Cik Nur ditemani tiga orang anaknya di HomeTeam NS Khatib untuk berbuka puasa bersama lebih 500 penerima manfaat NeuGen.

Majlis iftar tersebut telah memasuki tahun ketiga penganjurannya, dengan seramai 500 hadirin setiap tahun.

Ia juga merupakan antara pelbagai inisiatif yang dijalankan NeuGen bersama relawan dan rakan masyarakat bagi menyokong lebih 1,300 penerima manfaat, kata Dr Faishal.

Keluarga yang hadir turut menerima beg cenderahati berisi makanan dan minuman bernilai $50 yang disampaikan Dr Faishal.

Di samping sokongan kewangan dan pendidikan seperti yang diterima keluarga lima beranak itu, NeuGen turut menawarkan program keluarga dan aktiviti masyarakat, menurut Encik Muhammed Ali, penolong pengarah kanan, program dan perkhidmatan bagi Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos) dan NeuGen.

Encik Muhammed Ali, penolong pengarah kanan, program dan perkhidmatan bagi Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos) dan NeuGen Fund (NeuGen) menekankan pentingnya membina masa depan yang lebih stabil untuk anak-anak bekas pesalah.
Encik Muhammed Ali, penolong pengarah kanan, program dan perkhidmatan bagi Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos) dan NeuGen Fund (NeuGen) menekankan pentingnya membina masa depan yang lebih stabil untuk anak-anak bekas pesalah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Matlamat utama NeuGen adalah untuk mencegah kitaran jenayah antara generasi agar anak-anak tidak mengulangi kesilapan ibu bapa. Dengan sokongan seperti ini, ia dapat membantu membina hubungan yang lebih kukuh serta mewujudkan persekitaran yang lebih stabil untuk mereka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg