Kekosongan dan kepiluan menyusuli pemergian pustakawan kanan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), arwah Juffri Supa’at dapat dirasakan oleh mereka yang menghadiri satu majlis memperingati arwah di The POD, NLB pada 10 pagi, 11 Mei.
Dalam acara ‘Pustakawan Berbudi Dengan Cita Semangat: A Memorial Reading of Juffri Supa’at’ anjuran dengan kerjasama NLB dan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), penghargaan terhadap arwah telah disampaikan melalui ucapan dan deklamasi puisi.
Sekitar 80 orang menghadiri acara itu termasuk keluarga arwah, rakan sekerja dan penggiat bahasa seperti pengkaji bahasa dan sastera Melayu, Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz serta Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan anggota MBMS, Dr Azhar Ibrahim Alwee.
Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, yang mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan menyampaikan penghargaan untuk arwah.
“Pemergian arwah merupakan kehilangan amat besar bukan sahaja untuk keluarga, malah untuk masyarakat,” kata Cik Rahayu.
Hati adik Allayarham Juffri, Cik Kartini Supa’at, 55 tahun, tersentuh dengan acara khas mengenang abangnya itu.
“Jutaan terima kasih kepada semua yang mengambil masa untuk datang pada pagi ini. Saya terharu, hari ini saya sedar bahawa sumbangan beliau lebih daripada apa yang kita jangkakan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg