Ditubuhkan lebih seabad lalu pada 1912, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah mempunyai rangkaian alumni merentas generasi.

Rangkaian yang kukuh itulah menjadi ‘tulang belakang’ institusi berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman.

Sokongan padu itu terserlah semasa Majlis Selawat Perdana, acara pengumpulan dana khas untuk menyokong pembangunan madrasah tersebut.

Acara khusus buat wanita itu berlangsung di The Chevrons di Boon Lay Way pada 20 September dan dihadiri lebih 270 orang.

Sekitar $30,000 berjaya dikumpul hasil acara itu, dengan usaha pengumpulan dana akan diteruskan sehingga mencapai sasaran $50,000.

Acara itu anjuran Travelwave Pte Ltd, dengan sokongan Kumpulan Syarikat Mamanda bersama sekitar 30 mantan pelajar Madrasah Alsagoff dan beberapa individu lain.

Selain persembahan nasyid oleh kumpulan Al-Jawaher, As Shanum Ummi dan Darul Nisaa, acara itu turut diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah terkemuka dari Malaysia, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.

Dalam ucapannya, Ustazah Nurdiana, yang juga Pengerusi Majlis Alumni Alsagoff, berkata:

“Alumni merupakan aset strategik yang paling berharga bagi sebuah institusi pendidikan. Tidak kira bentuk sumbangan dari segala bentuk sama ada menyumbang masa dan tenaga, berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing, menyumbang dari segi kewangan dan jaringan ataupun menjadi duta madrasah di dalam masyarakat,” ujarnya.

Ustazah Nurdiana, yang turut merupakan Pengerusi Majlis Alumni Alsagoff, berkata segala sumbangan alumni madrasah amat penting dalam mengekalkan masa depan pelajar madrasah itu.
Ustazah Nurdiana, yang turut merupakan Pengerusi Majlis Alumni Alsagoff, berkata segala sumbangan alumni madrasah amat penting dalam mengekalkan masa depan pelajar madrasah itu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Ketua Pejabat Alumni Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Ustazah Asyunifar Abu, berkata hasil pengumpulan dana daripada acara tersebut akan membantu menampung keperluan pendidikan, terutamanya dengan kos yang semakin meningkat.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah peningkatan kos dalam menyediakan pendidikan dan mengendalikan keperluan operasi madrasah, jadi setiap sumbangan yang diterima amat bermakna.

“Ia membantu meringankan sebahagian daripada kos tersebut dan membolehkan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah terus memberi tumpuan kepada perkara utama, iaitu menyediakan pendidikan yang terbaik untuk para pelajar,” katanya.

Selain keperluan pendidikan, dana tersebut akan disalurkan kepada usaha pembangunan serta penambahbaikan kemudahan madrasah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman., semasa menyampaikan ucapan di Majlis Selawat Perdana, sebuah acara pengumpulan dana khas bagi menyokong pembangunan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah di The Chevrons pada 20 September.
Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman., semasa menyampaikan ucapan di Majlis Selawat Perdana, sebuah acara pengumpulan dana khas bagi menyokong pembangunan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah di The Chevrons pada 20 September. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Dana itu juga akan menyokong pelaksanaan program atau inisiatif baharu, tertakluk kepada keutamaan dan keperluan madrasah, tambahnya.

Penganjur utama acara tersebut, iaitu Travelwave dan Mamanda, terharu melihat orang ramai tampil menyokong usaha itu.

Wakil Travelwave dan Kumpulan Syarikat Mamanda, Cik Masmunah Abdullah, berkata:

“Inisiatif ini lebih daripada mengumpul dana. Ia mencerminkan penghargaan dan tanggungjawab bersama masyarakat terhadap usaha menyokong pendidikan Islam.

“Kami ingin setiap individu dan perniagaan sedar bahawa mereka mampu menyumbang kepada pendirian institusi pendidikan agama yang kekal utuh bagi generasi akan datang.”

Seramai 24 pelajar daripada peringkat menengah dan Diploma Pengajian Islam madrasah itu turut terlibat dalam menjayakan acara tersebut, termasuk usaha pengumpulan dana.

Antaranya ialah ketua badan pelajar Diploma Pengajian Islam (DPI) madrasah itu, Nuha Ameera Nor Herman, 18 tahun.

Beliau, bersama rakan-rakannya Hannah Hadhirah Muhamed Redwan dan Nur Hasanah Abdul Rahman, menjual pelbagai barangan kraf buatan pelajar madrasah itu untuk mengumpul dana bagi satu lawatan pembelajaran ke Jepun yang dijadualkan pada akhir 2026.

Selain mendapat inspirasi melihat pelbagai alumni Madrasah Alsagoff Al-Arabiah yang maju dalam pelbagai bidang, acara tersebut juga merupakan peluang baik untuk mengasah kemahiran di luar bilik darjah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti