Topik diikuti
Pergi ke BHkuMajlis tutup tirai sambutan 5 dekad hubungan pertahanan S’pura-Brunei
Majlis tutup tirai sambutan 5 dekad hubungan pertahanan S’pura-Brunei
Singapura dan Brunei Darussalam secara rasmi menamatkan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan dua hala menerusi satu majlis makan malam pada 21 November 2026.
Majlis tersebut dihoskan oleh Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing; Panglima Pasukan Pertahanan (CDF), Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng; Komander Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; serta barisan pemimpin pertahanan kanan semasa dan mantan dari kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura pada 21 November, perhimpunan pemimpin pertahanan semasa dan terdahulu itu mencerminkan persahabatan erat yang terjalin hasil kerjasama pertahanan yang rapat selama lima dekad, yang terus kekal melangkaui tempoh perkhidmatan masing-masing.
Sambutan Jubli Emas sepanjang tahun ini bermula dengan Majlis Makan Malam Pembukaan yang dihoskan oleh VADM Beng di Brunei Darussalam pada Januari 2026.
Ini diikuti dengan pelbagai aktiviti utama termasuk pertemuan peringkat tinggi, latihan dua hala, serta Perbarisan Bersama di Brunei pada 10 Oktober 2026 yang dihadiri oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Encik Lawrence Wong, dan Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Selain kerjasama sedia ada, kedua-dua negara turut memperluaskan perkongsian pertahanan ke bidang baharu melalui beberapa inisiatif penting tahun ini, merangkumi majlis pecah tanah Jambatan Kawasan Latihan Binturan, pelaksanaan Lapang Sasar Pemusnahan Bawah Air (Underwater Demolition Range), serta pelancaran Latihan Vanguard.
Kesemua aktiviti ini menggariskan kepentingan pencapaian bersejarah tersebut selain mencerminkan hubungan institusi yang kukuh, persahabatan yang berkekalan dan saling mempercayai yang menjadi teras hubungan pertahanan antara kedua-dua negara, kata Mindef.
Sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut, Singapura dan Brunei turut bekerjasama menganjurkan galeri peringatan yang mempamerkan pencapaian utama sepanjang 50 tahun hubungan pertahanan dua hala.
Orang ramai di Singapura boleh mengunjungi pameran tersebut di ruang legar Aras 2, Pangkalan Tenaga Manusia Pusat (CMPB) bermula 23 November hingga 6 Disember 2026, dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari.
“Sepanjang lima dekad lalu, interaksi berkala dan kerjasama erat antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan ABDB telah mengukuhkan lagi persefahaman serta memupuk persahabatan merentas generasi.
“Dengan berakhirnya acara sambutan Jubli Emas ini, Singapura kekal komited untuk terus membina atas asas yang kukuh ini, memperdalam kerjasama dalam bidang baharu yang saling menguntungkan, serta memelihara hubungan akrab dengan Brunei Darussalam demi generasi akan datang,” kata Mindef.