Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makam Habib Noh dibuka semula sepenuhnya selepas kerja baik pulih sekitar $2j

Kerja baik pulih besar pertama sejak kerja terakhir siap pada 1987
Jan 11, 2026 | 6:53 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, makam habib noh
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) dan Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Encik Khalid Mohamad (dua dari kanan) semasa di acara menandakan siap kerja baik pulih Makam Habib Noh pada 11 Januari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Makam Habib Noh kini dibuka semula sepenuhnya kepada orang ramai mulai 12 Januari setelah selesai kerja baik pulih bernilai kira-kira $2 juta yang mengambil masa sekitar satu setengah tahun.

Kerja baik pulih itu adalah yang pertama dilakukan pada skala besar dalam tempoh sekitar 40 tahun, sejak kerja besar terakhir dijalankan antara 1986 dengan 1987.

Berucap di acara untuk menandakan siapnya kerja baik pulih makam itu di Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road – sebelah Makam Habib Noh – pada 11 Januari, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menarik perhatian semangat perpaduan serta dedikasi masyarakat dalam usaha memelihara warisan agama dan sejarah.

“Doa dan sokongan berterusan anda mencerminkan semangat tulus ummah kita,” tambahnya.

Bahagian dalaman Makam Habib Noh turut dihiasi dengan kaligrafi 99 nama Allah swt serta doa.
Bahagian dalaman Makam Habib Noh turut dihiasi dengan kaligrafi 99 nama Allah swt serta doa. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Makam Habib Noh kini antara lain dilengkapi dengan kubah baru yang dihias dengan kaligrafi Islam, cat baru dan struktur yang diperkukuh.

Selain kaligrafi 99 nama Allah swt dan doa, bahagian dalam makam juga dilengkapi dengan karpet baru serta tingkap kaca berwarna dan bercorak yang mencerminkan sejarah kawasan tersebut.

Naib pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Ustaz Muhammad Jalaluddeen Saukat Ali, berkata reka bentuk kubah yang baru itu serta pilihan warna makam itu diilhamkan daripada kubah hijau ikonik di Makam Rasul, yang terletak di Madinah.

Menurut Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Encik Khalid Mohamad, antara cabaran utama dalam kerja baik pulih makam itu adalah pembinaan kubahnya.

“Bagi menghormati legasi Habib Noh, kami mendapatkan kepakaran khusus dari luar negara untuk memastikan kubah itu dibina dengan penuh teliti.

“Sebagai penjaga tapak suci ini, kami komited untuk memastikan setiap aspek disiapkan dengan teliti dan selamat, dan juga demi keselesaan semua pengunjung,” ujarnya.

Tangga berusia 100 tahun yang menuju ke Makam Habib Noh juga telah diperkukuh, menjadikannya lebih selamat buat pengunjung sementara masih mengekalkan penampilan asalnya.
Tangga berusia 100 tahun yang menuju ke Makam Habib Noh juga telah diperkukuh, menjadikannya lebih selamat buat pengunjung sementara masih mengekalkan penampilan asalnya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lantas, tangga berusia lebih 100 tahun yang menuju ke makam itu juga telah diperkukuh, menjadikannya lebih selamat buat pengunjung sementara tetap mengekalkan penampilan asalnya.

Encik Khalid menambah bahawa tangga tersebut, yang direka pada 1894 dan dibina dari 1895 hingga 1896, tidak pernah diubah.

Jubin mozek di dinding bahagian luar makam turut dibuka untuk mengembalikan penampilan asalnya, seperti ketika makam tersebut pertama kali didirikan.

Corak bunga kenanga di salah satu tingkap di Makam Habib Noh menonjolkan bunga tersebut yang senang ditemui di sekeliling Masjid Haji Muhammad Salleh.
Corak bunga kenanga di salah satu tingkap di Makam Habib Noh menonjolkan bunga tersebut yang senang ditemui di sekeliling Masjid Haji Muhammad Salleh. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Habib Noh Al-Habsyi, yang merupakan seorang wali dan tokoh agama penting dalam dunia dakwah Islam, meninggal dunia pada 1866 dan dikebumikan di Mount Palmer.

Sebelum Habib Noh meninggal dunia, beliau banyak menghabiskan masa bertafakur di tapak tersebut.

Kemudian, Makam Habib Noh dibina oleh Syed Mohamed Syed Ahmad Alsagoff pada 1886 sebagai menghormati sumbangan Habib Noh.

Turut hadir di acara tersebut ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar dan Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid (OMS), Encik Zalman Ali.

Sebagai sebahagian usaha untuk terus memperingati Habib Noh, Encik Khalid juga berkata Lembaga Pentadbir Masjid telah melantik tiga sarjana dan penyelidik akademik untuk mengkaji sejarah Habib Noh, Habib Abdul Rahman, Haji Muhammad Salleh, makam, masjid serta kawasan di kelilingnya.

Kajian itu, yang bermula pada 2024, akan diterbitkan dalam bentuk buku pada 2026.

Naib pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Ustaz Muhammad Jalaluddeen Saukat Ali, terlibat dalam projek baik pulih Makam Habib Noh, termasuk aspek mengumpul dana. Beliau mula berjinak-jinak di situ sebagai sukarelawan pada 1998, apabila beliau masih remaja.
Naib pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Ustaz Muhammad Jalaluddeen Saukat Ali, terlibat dalam projek baik pulih Makam Habib Noh, termasuk aspek mengumpul dana. Beliau mula berjinak-jinak di situ sebagai sukarelawan pada 1998, apabila beliau masih remaja. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Ustaz Muhammad Jalaluddeen yang telah menabur bakti sebagai sukarelawan di Makam Habib Noh dan Masjid Haji Muhammad Salleh sejak 1998, beliau amat teruja dan bersyukur dapat menyumbang kepada projek baik pulih makam itu, seperti mengumpul dana yang diperlukan.

“Keserasian dan cinta saya terhadap makam dan masjid telah ditanam sejak kecil lagi.

“Saya ingin membalas pengalaman positif yang saya nikmati selama ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg