Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perpustakaan khas hidupkan legasi ilmu mantan Mufti Syed Isa Semait

Jul 18, 2025 | 9:38 PM
Majlis pelancaran perpustakaan kecil bernama ‘Maktabah Shaikh Syed Isa Semait’ telah diadakan di Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh pada 18 Julai selepas solat Jumaat. Antara mereka yang hadir adalah Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid Mohamad (lima dari kiri); adik ipar Allahyarham mantan Mufti Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, Habib Esa Annagib Mohamed Alhaddad (empat dari kiri); dan mantan AP, Encik Amrin Amin (enam dari kiri).
Majlis pelancaran perpustakaan kecil bernama ‘Maktabah Shaikh Syed Isa Semait’ telah diadakan di Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh pada 18 Julai selepas solat Jumaat. Antara mereka yang hadir adalah Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid Mohamad (lima dari kiri); adik ipar Allahyarham mantan Mufti Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, Habib Esa Annagib Mohamed Alhaddad (empat dari kiri); dan mantan AP, Encik Amrin Amin (enam dari kiri). - Foto FACEBOOK AMRIN AMIN

Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh kini menjadi penjaga kepada satu koleksi ilmu yang amat berharga – lebih 100 buku peribadi milik mantan Mufti Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait – yang secara rasmi dilancarkan sebagai perpustakaan kecil bernama ‘Maktabah Shaikh Syed Isa Semait’ pada 18 Julai.

Majlis pelancaran yang diadakan selepas solat Jumaat itu disempurnakan dengan upacara memotong reben oleh adik ipar Allahyarham, Habib Esa Annagib Mohamed Alhaddad.

Ia dihadiri sekitar 40 tetamu termasuk anggota keluarga Allahyarham, wakil Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), beberapa tokoh agama luar negara, beberapa jemaah masjid, serta mantan Anggota Parlimen, Encik Amrin Amin.

Menurut Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid Mohamad, koleksi buku itu disumbangkan oleh keluarga Allahyarham pada Januari 2025.

Namun, disebabkan kerja pengubahsuaian di masjid, pelancarannya ditangguhkan sehinggalah selepas pemergian Allahyarham pada 7 Julai baru-baru ini.

“Kami rasa tidak boleh tunggu lagi. Allahyarham baru sahaja meninggal dunia, dan ini adalah masa yang sesuai untuk kita melestarikan legasinya menerusi perpustakaan ini,” kata Encik Khalid.

Sumbangan tersebut melibatkan sekitar 100 buku berkaitan agama, undang-undang, bahasa dan masyarakat, termasuk rak buku asal Allahyarham sendiri.

Koleksi itu kini disimpan dalam rak berkunci di ruang kecil berdekatan pejabat pengerusi masjid, yang boleh memuatkan dua hingga tiga orang pada satu masa.

Buku-buku yang disumbang itu diletak di sebuah ruang kecil berdekatan dengan pejabat pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh.
Buku-buku yang disumbang itu diletak di sebuah ruang kecil berdekatan dengan pejabat pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh. - Foto KHALID MOHAMAD

Encik Khalid memberitahu Berita Harian (BH) bahawa jemaah masjid yang ingin membaca buku-buku itu perlu membuat permohonan terlebih dahulu di pejabat masjid.

“Kami tidak jangka pun untuk terima buku-buku ini. Adik ipar Allahyarham yang memang selalu ke masjid kami maklumkan bahawa keluarganya ingin mendermakan buku-buku tersebut kepada kami.

“Buku-buku itu istimewa kerana mereka milik mantan Mufti kita, iaitu seseorang yang alim, yang pernah turut serta mengeluarkan fatwa.

“Dan lebih istimewa lagi, daripada semua masjid di Singapura, kamilah yang diberi amanah untuk beri manfaat kepada umat Islam,” jelasnya.

Ini merupakan kali pertama Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh menerima sumbangan koleksi peribadi daripada seorang tokoh agama.

Dalam kiriman Facebooknya, Encik Amrin berkata Allahyarham pernah menunjuk koleksi buku itu kepadanya satu seketika dahulu.

“Pendermaan buku itu dilakukan secara senyap, namun sangat bermakna. Keluarga Allahyarham memilih untuk meneruskan legasi beliau dengan cara hidup yang sama seperti yang diamalkannya, iaitu dengan rendah diri, kebijaksanaan, dan khidmat kepada masyarakat.

“Moga kata-kata, pemikiran dan ilmu yang beliau kumpulkan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” tulisnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg