Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MakBesar anjur Grand Market lebih gah di Suntec

Pengunjung berpeluang menangi wang tunai $1,000
Aug 18, 2024 | 5:30 AM
Grand Market yang pertama diadakan pada Mei 2024 lalu mendapat sambutan baik daripada peniaga dan pengunjung. Dianggarkan Grand Market kedua pada 23 hingga 25 Ogos 2024 ini, akan lebih meriah lagi.
Grand Market yang pertama diadakan pada Mei 2024 lalu mendapat sambutan baik daripada peniaga dan pengunjung. Dianggarkan Grand Market kedua pada 23 hingga 25 Ogos 2024 ini, akan lebih meriah lagi. - Foto MAKBESAR PTE LTD

Dengan hampir 250 peniaga menjual pelbagai barangan rencam dan makanan, Grand Market dianjurkan buat kali kedua oleh syarikat MakBesar Pte Ltd dan bakal kembali dengan lebih gah lagi. Pada acara ini juga, pengunjung berpeluang memenangi wang tunai $1,000, serta dihiburkan oleh penyanyi popular tanah air, Taufik Batisah.

Menurut pengarah dan pemilik bersama MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman, acara Grand Market dianjurkan sebagai platform untuk peniaga memperkenalkan barangan mereka dan menembusi pasaran setempat.

“Grand Market adalah acara di mana kami menyediakan ruang dimampui untuk perniagaan, terutamanya yang baru, perniagaan daripada rumah (HBB) dan kecil dan yang tidak mahu belanja banyak untuk sewa. Memandangkan mereka menjimatkan wang untuk sewa, barangan mereka juga dimampui dan lebih murah untuk pengguna,” kata Cik Haryani.

Cik Haryani menambah, ada ramai peniaga yang menyertai mereka buat kali pertama, serta ada juga nama-nama syarikat besar seperti The Bubbly Gem, Diyana Halik, Satay Ummi. Syarikat setempat SGFR Store juga akan melancarkan produk minuman terbarunya pada acara tersebut.

Firma MakBesar juga bekerjasama dengan jenama minuman kegemaran ramai POKKA dengan menyediakan minuman percuma bagi peniaga, pada hari persediaan acara.

Peniaga yang pernah menyertai Grand Market sebelum ini, turut meneruskan sokongan mereka. Antaranya Cik Siti Balqis Masroni, pemilik perniagaan busana Muslimah, Faroshah.

“Saya berasa teruja untuk kembali sebagai peniaga dengan syarikat MakBesar kerana sokongan padunya terhadap peniaga kecil seperti syarikat kami. Sejujurnya, komitmen mereka tiada tandingan. Mereka mempromosikan syarikat kami di wadah media sosial. Ini mampu memupuk masyarakat peniaga yang saling bekerjasama, “ jelas Cik Siti Balqis.

Cik Siti Balqis juga berpuas hati apabila MakBesar menawarkan kadar sewa yang berpatutan tanpa mengorbankan mutu, seperti yang dipaparkan oleh kakitangannya yang penuh dedikasi dalam menyelesaikan isu logistik dengan cekap.

“Sikap profesionalisme dan perhatian mereka terhadap segala butiran memastikan acara teratur dan dijalankan dengan baik, sekali gus, melahirkan pengalaman yang memuaskan hati untuk semua yang terlibat,” tambahnya.

Grand Market juga bakal mempamerkan sehingga 60 gerai makanan serta gerai baju, tudung, bunga bakhoor, seni Islamik, barangan kanak-kanak dan pesta ria kanak-kanak.

Pengunjung juga akan berasa seronok apabila mencuba pengalaman realiti maya yang dibawakan oleh D’Ventures SG pada acara ini.

Selain itu, istimewa untuk pengunjung yang hadir, mereka boleh menyertai permainan pencarian kod QR sepanjang acara tiga hari ini.

Jika mereka berjaya mendapatkan semua kod QR tersembunyi dalam acara tersebut, mereka berpeluang memenangi wang tunai $1,000.

Pemenang akan diumumkan pada Ahad malam (25 Ogos 2024). Syaratnya, pemenang wajib hadir pada malam itu. Jika tidak, pemenang lain akan dipilih.

Taufik Batisah, Syaz Smooth, Harris (penghibur jalanan, atau ‘busker’) merupakan antara mereka yang akan menghiburkan pengunjung. Persembahan hiburan untuk kanak-kanak juga akan disediakan bagi melengkapi kunjungan seluruh keluarga pada acara ini.

Grand Market bakal diadakan di Suntec Convention Hall pada 23 hingga 25 ​​Ogos 2024 ini, bermula 10 pagi hingga 10 malam di dewan 401 dan 402.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg