MakBesar perkasa vendor kecil, perluas peluang niaga
Kini sedia khidmat logistik bantu vendor hantar barangan dari Malaysia ke Singapura bagi sebarang acara, tawar khidmat gudang simpanan barang
Dalam dunia perniagaan hari ini, vendor kecil sering berkongsi tentang cabaran yang sama. Mereka mempunyai produk bermutu, tetapi sukar mendapat perhatian.
Di sinilah, firma tempatan, MakBesar Pte Ltd, tampil membuka laluan supaya mereka berkembang, terutamanya peniaga tanpa kedai fizikal.
Ruang acara anjuran MakBesar menjadi peluang kepada peniaga bertemu pelanggan, menguji pasaran dan menjana keuntungan.
Namun, MakBesar percaya peluang ini lebih baik apabila disokong dengan strategi pemasaran tepat.
TULARKAN IMEJ PENIAGA
Syarikat yang diasaskan pada 2019 ini berpengalaman menguruskan hampir 40 acara berskala besar, membuktikan kewibawaannya dalam industri penganjuran acara.
Pemilik bersama MakBesar, Cik Haryani Othman, mengakui bahawa setiap kejayaan acaranya digerakkan bersama pelan pemasaran berfokus.
“Kami bukan sahaja menganjurkan acara, bahkan memasarkan wajah di sebalik setiap jenama serta keunikan produk mereka dalam acara kami.
“Ia menjadikan jenama-jenama tersebut lebih dikenali ramai sehingga salah satu vendor kami, Thahirah Kazura, memuji kejayaan MakBesar menularkan perniagaannya. Seronok kami mendengar berita itu,” jelas Cik Haryani.
ATASI KEBUNTUAN PERNIAGAAN
Memahami cabaran perniagaan, Cik Haryani menekankan kepentingan platform digital sebagai strategi melonjakkan jualan.
“Tidak kira perniagaan kecil atau besar, manfaatkan promosi dalam talian. Kalau boleh, lakukan hari-hari.
“Sekiranya buntu, dapatkan khidmat nasihat MakBesar, yang telah pun membantu jualan beberapa syarikat besar.
“Peniaga juga perlu berbincang dengan penganjur tentang sokongan tersedia. Sebelum sertai apa-apa acara, selidik dulu, terutamanya kalau penganjur baru.
“Ramai peniaga mengadu acara kurang pengunjung, tapi bukan semua salah penganjur. Kadang-kadang, peniaga sendiri tak buat pemasaran atau kajian terlebih awal,” tegas Cik Haryani.
PERLU SENTIASA JANA IDEA BARU!
Beliau menambah, sesuatu perniagaan tidak boleh bersifat statik kerana penting untuk memperkenalkan produk atau promosi terbaru.
Justeru, beliau memuji pemilik UFR Essentials, Ustaz Fadhly Rosli, yang gigih mengatur strategi bersama sebagai vendor.
“Setiap kali menyertai acara kami, beliau mengeluarkan pelbagai produk baru atau promosi terkini dan lakukan pemasaran bersama-sama.
“Kalau ada yang tiru produk atau rekaannya, beliau terus buat baru!” katanya.
Syarikat Hahnemann Travel & Tours juga mencapai kejayaan memberangsangkan, setelah menggunakan perkhidmatan MakBesar semasa menyertai acara dagangan, Grand Market, tahun lalu (2025).
Cik Haryani mengulas:
“Mereka tampil dengan pelbagai pakej, promosi, dan keistimewaan untuk pelanggan. Hasilnya? Sangat cemerlang!
“Dari 6 hingga 8 Februari ini, mereka akan kembali dengan lebih banyak promosi dalam acara Grand Market di Pusat Konvensyen Suntec (Dewan 404 hingga 405), dari 12 tengah hari hingga 10 malam.
“Sertai kami di sini dengan pelbagai acara menarik. Saksikan selebriti kegemaran anda seperti pemenang Gegar Vaganza 12, Iskandar Ismail; bakat cilik, Amad Dayyan; penyanyi Singapura, Ryzall Noh, Kidzer Salim dan ramai lagi.”
KHIDMAT LOGISTIK KINI TERSEDIA
Sebagai penerima anugerah SME (Syarikat Kecil dan Sederhana) 500 Singapura pada 2022 dan SMA Consumer Show of the Year pada 2023, MakBesar turut melebarkan sayap bersama MakBesar Logistics.
“Kami menyediakan perkhidmatan membantu vendor menghantar barangan dari Malaysia terus ke Singapura bagi sebarang acara, tidak terhad kepada acara kami sendiri.
“Selain itu, kami menawarkan perkhidmatan gudang dan penyimpanan, terutamanya untuk perniagaan yang tidak berpusat di Singapura,” kata Cik Haryani.
SEKILAS
* Hubungi MakBesar di talian 8292-4739 atau e-mel kepada hanimakbesar@gmail.com untuk sebarang pertanyaan.
* Lungsuri laman sosial MakBesar di @makbesarsg (IG) atau @themakbesar (TikTok) bagi mengetahui perkembangan terkini.

