Sebuah makmal pengeluaran mRNA dengan teknologi terkini, yang mampu menghasilkan bahan untuk kajian praklinikal bagi vaksin atau ubat untuk memerangi barah dan penyakit lain, dengan kadar kepantasan yang tinggi, telah dilancarkan secara rasmi pada 4 November.
Inisiatif Terapeutik Asid Nukleik (NATi) di bawah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) berkata ini adalah kemudahan pertama seumpamanya di Asia yang dikhususkan buat pengeluaran mRNA.
NATi menambah bahawa kemudahan yang dinamakan NATi mRNA BioFoundry, membuka laluan bagi memperkukuh persediaan negara menghadapi pandemik serta mempertingkat pengeluaran bahan terapeutik asid nukleik (NAT).
NAT ialah bidang perubatan baru yang menggunakan asid nukleik seperti DNA dan RNA untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk barah dan jangkitan virus.
Vaksin Covid-19 berdasarkan teknologi mRNA yang dihasilkan dalam beberapa bulan selepas wabak itu adalah contoh aplikasi NAT, jelas The Straits Times.
“Ini menandakan langkah pertama yang penting ke arah merealisasikan terapi RNA yang bukan sahaja ditemui tetapi turut dihasilkan di Singapura, sekali gus menyumbang kepada aspirasi negara untuk menjadi hab utama inovasi bioperubatan,” kata Menteri Kedua (Perdagangan merangkap Perusahaan), Dr Tan See Leng dalam kenyataan akhbar pada 4 November.
Pada April 2024, kemudahan mRNA itu telah dinaik taraf dengan dua mesin canggih bagi menyelaraskan pengeluaran RNA, serta menggantikan peralatan lama yang menggunakan lebih banyak tenaga kerja.
Profesor Andre Choo, Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Teknologi Biopemprosesan (BTI) A*Star, menjelaskan bahawa mesin baru itu mampu menghasilkan sehingga 5 gram RNA setiap hari — mencukupi untuk kegunaan dalam sekitar 100,000 dos vaksin.
Masa pengeluarannya jauh lebih pantas berbanding mesin lama yang memerlukan sehingga satu setengah bulan untuk menghasilkan jumlah yang sama.
Platform teknologinya juga membolehkan para penyelidik mencipta bahan berkualiti tinggi untuk menguji keberkesanan ubat mRNA terhadap penyakit seperti barah, jangkitan mata, dan penyakit kardiovaskular, tambah Profesor Choo.
Kemudahan itu adalah sebahagian daripada program NATi bernilai $97 juta yang diumumkan Dr Tan semasa pembentangan belanjawan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan 2024 di parlimen.
Ia dibina dengan kerjasama NATi, A*Star dan Wellcome Leap, organisasi bukan kerajaan yang diasaskan oleh Wellcome Trust yang berpangkalan di United Kingdom untuk mempertingkatkan inovasi yang memberi manfaat kepada kesihatan global.
Singapura adalah sebahagian daripada rangkaian global program Wellcome Leap R3, yang bertujuan membangunkan dan mengaplikasikan teknologi dan inovasi RNA.
Dr Koh Boon Tong, pengarah eksekutif BTI dan NATi A*Star, menyatakan bahawa kemudahan ini unik kerana dilengkapi dengan proses pembuatan mRNA automatik, yang mempercepatkan proses penemuan penting dalam penyelidikan dan pengkomersialan.
Justeru ia berbeza dengan kemudahan mRNA lain yang boleh dijumpai di Singapura atau di serata dunia kerana kebanyakannya masih menggunakan proses pengeluaran secara manual.
Dr Koh berkata buat masa ini, kemudahan itu hanya tertumpu kepada penyelidikan dan penghasilan sampel untuk kajian praklinikal atau haiwan.
Namun, ia berupaya meningkatkan pengeluaran dengan pantas apabila negara ditimpa krisis kesihatan, seterusnya mengukuhkan keupayaan Singapura untuk bertindak balas secara berkesan terhadap kecemasan kesihatan di masa hadapan.
Dr Koh berpendapat bahawa dengan adanya kemudahan itu, Singapura dapat merangka rancangan masa hadapan untuk mengeluarkan bekalan vaksin mRNA tempatan, berbanding bergantung kepada bekalan yang diimport dari luar negara.
Ia juga dapat menarik peluang penyelidikan baru dan memajukan keupayaan Singapura dalam penjagaan kesihatan dan biopengilangan, tambah Dr Koh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg