Singapura telah menyumbang tambahan AS$10 juta ($13 juta) kepada dana pandemik global, menurut satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 1 November.
Sumbangan baru itu diumumkan ketika acara ikrar dana yang dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di tabir mesyuarat bersama menteri kewangan dan kesihatan Kumpulan 20 (G20) di Brazil pada 31 Oktober.
Pada 2022, Singapura telah membuat sumbangan bernilai AS$10 juta, membawa jumlah sumbangan Singapura kepada dana itu setakat ini, kepada AS$20 juta ($26.5 juta), lapor The Straits Times.
“Ini mencerminkan komitmen berterusan kami (Singapura) untuk mengukuhkan sektor kesihatan global sebagai persediaan menghadapi pandemik akan datang,” kata Encik Ong pada acara itu.
Menurut Encik Ong, untuk memaksimumkan impak dana itu, pihak berkaitan perlu beri tumpuan kepada dua perkara: pengawasan global dan peningkatan kebolehan negara kurang membangun untuk menangani pandemik akan datang, terutama sekali dengan meningkatkan keupayaan tenaga kerja mereka.
“Amaran yang diterima satu hari lebih awal dapat membuat perbezaan yang ketara, antara hidup dan mati, atau perintah berkurung dan kebebasan. Setiap negara perlu menjadi mata dan telinga kepada negara lain,” katanya.
Dana pandemik itu ditubuhkan oleh Bank Dunia pada 2022 untuk membantu negara membangun lebih bersedia menghadapi pandemik.
Ini kerana Covid-19 telah membawa kesan negatif kepada ekonomi dan sistem kesihatan di seluruh dunia.
Dengan memberi tumpuan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana, dana itu menyasarkan untuk mengisi jurang pembiayaan kritikal dan menggalakkan pendekatan yang lebih teratur dalam pencegahan, persediaan dan respons terhadap pandemik akan datang.
Semasa Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan G20, Encik Ong juga menyuarakan keperluan bagi menteri kewangan dan kesihatan bekerjasama dalam menangani isu kewangan penjagaan kesihatan dan penuaan.
Beliau menekankan kepentingan mendigitalisasi penjagaan kesihatan, khususnya dengan mengintegrasikan rekod perubatan elektronik di seluruh sistem penjagaan kesihatan, untuk membolehkan penjagaan yang lebih lancar dan berpanjangan, dan membuka jalan bagi lebih banyak inovasi melalui kecerdasan buatan (AI).
Digitalisasi dan integrasi, menurut Encik Ong, “(dapat) mengelakkan ujian dan saringan (kesihatan) berulang yang membuang masa dan tidak perlu.”
Encik Ong turut membincangkan isu penuaan semasa Mesyuarat Bersama Menteri Kewangan dan Kesihatan G-20, dan berkata “populasi yang semakin menua bermaksud beban penyakit yang lebih berat dan, bersamanya, datang beban kewangan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau menambah bahawa perbelanjaan dalam sektor kesihatan sudah menjadi yang tertinggi di banyak negara dan ia berpotensi untuk meningkat lebih tinggi, baik dari segi jumlah mahupun dari segi peratusan GDP (hasil dalam negara kasar).
Encik Ong berkata: “Nasib dan kepentingan kementerian kesihatan dan kewangan saling berkait disebabkan oleh (faktor) penuaan, dan penyelesaian utama adalah dengan memastikan warga emas kekal aktif dan sihat dengan menangani faktor sosial yang mempengaruhi kesihatan”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg