Muali 2025, maktab rendah (JC) tidak lagi akan mendedahkan pencapaian akademik kohort mereka dalam peperiksaan GCE peringkat ‘A’.
Keputusan bersama itu dibuat oleh pengetua kesemua 17 JC dan Institut Millennia (MI) yang menawarkan peperiksaan peringkat ‘A’.
Langkah ini bertujuan untuk menyokong usaha sistem pendidikan yang ingin mengurangkan tumpuan berlebihan terhadap keputusan yang dicapai para pelajar, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan holistik pelajar, kata pengetua Institusi Raffles (RI), Encik Aaron Loh dalam sebuah respons melalui e-mel.
Ini bermakna para pelajar yang mengambil keputusan peperiksaan peringkat ‘A’ mereka pada 21 Februari tidak akan diberikan sebarang data berkaitan gred yang dicapai kohort itu, semasa taklimat di sekolah.
Ini termasuk data mengenai peratusan pencapaian cemerlang bagi setiap subjek atau jumlah pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya tiga gred cemerlang bagi H2.
Biasanya sekolah akan berkongsi tentang pencapaian kohort tahun itu dalam pelbagai mata pelajaran, serta bilangan pelajar cemerlang, atau memaparkan maklumat tersebut di laman web mereka, lapor The Straits Times (ST).
Langkah ini diambil selepas International Baccalaureate (IB) berhenti mengeluarkan data mengenai jumlah pelajar IB yang memperoleh markah penuh sejak Mei 2023.
Organisasi IB yang berpangkalan di Switzerland menyatakan pada 2024 bahawa langkah ini diambil untuk mengelakkan keputusan penilaian itu digunakan sebagai alat perbandingan antara pelajar, sekolah atau sesuatu masyarakat.
Menurut Encik Loh, sejak beberapa tahun lalu, sekolah-sekolah di sini telah mengurangkan data yang dikongsi dalam keputusan terperinci mereka buat pelajar, ibu bapa dan orang ramai.
Dalam usaha untuk mengurangkan perkongsian data pencapaian pelajar secara keseluruhan, Encik Loh berkata:
“Langkah ini menunjukkan bahawa kita (benar-benar) menghargai pembangunan holistik pelajar, bukan (menumpukan) pada sekadar satu kayu ukur pencapaian, serta meraikan perjalanan mereka sebagai individu dan sebagai satu kohort yang bakal menamatkan pengajian.”
Dalam responsnya, Pengetua Maktab Rendah Nanyang (NYJC), Encik Pang Choon How, berkata walaupun sekolah tidak berkongsi data tersebut semasa taklimat sebelum pengambilan keputusan, mereka akan berkongsi “pengalaman kohort secara menyeluruh”.
Dengan melakukan demikian, Encik Pang berkata sekolah dapat menunjukkan para pelajar bahawa mereka menghargai pertumbuhan holistik pelajar.
“Selain mengucapkan tahniah kepada pelajar atas kerja keras dan pencapaian mereka, kami akan menonjolkan beberapa kisah menarik yang menggambarkan ketabahan, khidmat kepada masyarakat dan keazaman untuk mengatasi cabaran,” kata Encik Pang.
Seramai 10,889 calon menduduki peperiksaan peringkat ‘A’ pada 2024 dan telah menerima keputusan mereka pada 21 Februari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg