Langkah Hawa Najihah Mohd Raziff memasuki Institusi Raffles (Maktab Rendah) tiga tahun lalu (2022) selepas lulus peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O, tidak semudah mana.
Hawa, kini 18 tahun, sukar menyesuaikan diri di institusi tersebut kerana tiada teman daripada Sekolah Perempuan Cedar yang sama-sama melanjutkan pengajian di situ.
Tambahan pula, ibunya, Cik Haslinah Ramli, 52 tahun, turut dikesan menghidap barah paru-paru tahap empat pada 2022 dan tidak dapat bekerja meskipun memiliki Diploma Spesialis dalam Kewangan dan Perakaunan daripada Politeknik Temasek (TP).
Bapanya, Encik Mohd Raziff Mohd Yusoff, 59 tahun, pula baru sahaja bersara daripada tugas sebagai kakitangan awam dan menjalankan kerja sambilan dari masa ke masa kini.
Namun, keputusan GCE Peringkat ‘A’ yang diterima Hawa pada 21 Februari, ibarat memberinya harapan baru. Beliau mendapat keputusan cemerlang - tiga gred A bagi Matematik, Kertas Am (GP) dan Ekonomi serta gred B bagi Pengkomputeran dan Fizik.
Anak bongsu tiga beradik itu adalah antara 1,153 pelajar Institusi Raffles (Maktab Rendah), yang menerima keputusan mereka pada 21 Februari.
Katanya kepada Berita Harian (BH):
“Saya meneladani semangat waja ibu saya. Beliau menunjukkan keteguhan dan kesabaran sepanjang berdepan dengan penyakitnya. Perkara ini menyentuh jiwa saya.
“Saya ingin terus jadi versi diri saya yang terbaik dan membalas jasa orang tua saya yang telah bersusah payah membesarkan saya.
“Saya ingin rebut peluang yang ada untuk sentiasa gigih menuntut ilmu dan belajar daripada melihat perkembangan dunia sekeliling.
“Inilah cara saya dapat menyumbang kembali kepada ibu bapa saya yang telah mencuba sedaya upaya untuk menyokong saya selama ini,” ujar Hawa.
Demi meringankan beban kewangan keluarganya, Hawa memastikan prestasinya di maktab rendah sentiasa cemerlang, lantas membawa pada penerimaan Dermasiswa Sekolah Bebas dan Biasiswa Raffles.
Hawa, yang juga seorang pemain selo, dan satu-satunya pelajar Melayu yang menganggotai Orkestra Cina Raffles, juga bersyukur mendapat dorongan bapanya untuk berkecimpung dalam bidang muzik.
“Sejak kali pertama bermain alat muzik di sekolah rendah, saya sedar bahawa ini adalah kelebihan saya.
“Saya diberi peluang menjadi setiausaha dalam Orkestra Cina Raffles dan dapat menganjurkan inisiatif seperti Bazar Antarabangsa Palang Merah Singapura dan persembahan rumah terbuka maktab kami,” katanya.
Di bawah dorongan pemimpin orkestra, Encik Yang Ji Wei, Orkestra Cina Raffles disampaikan dengan Sijil Cemerlang bagi Pesta Belia Singapura (SYF).
Hawa juga pernah membuat persembahan pada acara persembahan belia, ‘In Youthful Company’ di Teater Luar Esplanade.
“Berada di atas pentas memberi saya ketenangan. Saya hanya menikmati keseronokan membuat persembahan,” ujarnya.
Selain muzik, beliau juga mahir dalam bidang pengkomputeran. Selain mendapat keputusan cemerlang bagi subjek tersebut, beliau dan rakan-rakannya juga pernah mewakili Institusi Raffles pada 2024 dan mendapat gelaran naib juara dalam pertandingan pengekodan beramai-ramai atau ‘hackathon’, RightShip Hackathon, anjuran Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurutnya, apa jua cabaran yang dihadapi menjadikannya lebih kuat dan cekal semangat serta akrab dengan keluarga.
Kini, Hawa berharap dapat menyambung pengajiannya di NUS atau Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang pengkomputeran atau seni reka perindustrian.
Seramai 10,889 pelajar telah menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ pada 2024, dengan 94.2 peratus daripadanya lulus dalam sekurang-kurangnya tiga subjek H2 dan layak menyambung pengajian ke universiti atau politeknik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg