Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman, mengumumkan persaraannya daripada politik pada 21 April, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam satu catatan di akaun Facebook beliau, Dr Maliki menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sentiasa memperkenalkan calon-calon baru pada setiap pilihan raya umum sebagai sebahagian usaha pembaharuan untuk menyertakan suara golongan lebih muda dan pelbagai ke dalam Parlimen.
Dr Maliki berkata beliau dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bersetuju bahawa kini adalah masa terbaik untuk beliau memberi laluan kepada calon baru dan bersara daripada politik, selepas berkhidmat selama lima penggal sejak 2001.
“Keutamaan segera saya adalah memastikan peralihan lancar dan menggerakkan sokongan bagi pasukan GRC East Coast dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya yakin mereka akan berkhidmat dengan baik untuk para penduduk,” kata Dr Maliki, yang merupakan salah seorang Anggota Parlimen (AP) semasa bagi GRC lima anggota itu.
Ahli politik berusia 59 tahun itu sebelum ini memperkenalkan muka baru, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapore, Cik Hazlina Abdul Halim, yang akan menggantikan tempatnya di kawasan undi itu, sebagai bakal calon PAP.
“Berbakti kepada penduduk di GRC Sembawang, GRC East Coast, dan sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East adalah satu perjalanan yang amat memperkayakan diri dan merendahkan hati saya,” ujar beliau.
Dalam catatannya, Dr Maliki mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, kerana telah memberikannya amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pemegang jawatan politik sejak 2004, dan peluang berkhidmat di pelbagai kementerian, lapor The Straits Times (ST).
“Ia adalah satu penghormatan dapat bekerja bersama Perdana Menteri Lee, Perdana Menteri Wong dan rakan-rakan kerja di Kabinet dalam mengharungi pelbagai cabaran dan membentuk kejayaan Singapura yang berterusan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin akar umbi, pemimpin masyarakat dan kakitangan di kementerian.
Dr Maliki menambah bahawa ia “terutama sekali lebih bermakna diberi peluang bekerjasama dengan para Anggota Parlimen Melayu/Islam yang lain dan pemimpin masyarakat untuk meningkatkan kehidupan menerusi pelbagai program sosial”.
“Terima kasih para penduduk kerana mengalu-alukan kehadiran saya di rumah dan kehidupan anda, dan membenarkan saya berkhidmat kepada anda sepanjang 24 tahun lalu.
“Saya akan sentiasa menghargai kenangan kita bersama,” katanya.
Dr Maliki, yang memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dalam kerja sosial dari Universiti Illinois Urbana-Champaign, adalah penolong profesor di jabatan kerja sosial dan psikologi Universiti Nasional Singapura (NUS), ketika beliau menceburi politik pada 2001 pada usia 36 tahun.
Beliau merupakan sebahagian pasukan enam anggota, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dr Tony Tan, yang memenangi GRC Sembawang dalam Pilihan Raya Umum tahun itu.
Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan (MOH) dari 2004 hingga 2005, dan di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) dari 2004 hingga 2006.
Pada 2005, Dr Maliki dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Pembangunan Negara (MND), sebelum dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Parlimen Kanan di kementerian yang sama pada 2010.
Pada 2013, beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara (Pertahanan merangkap Pembangunan Negara).
Beliau menjadi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) pada 2015.
Selepas Pilihan Raya Umum 2020, Dr Maliki dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg