Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti Paling Berharga (MVP) mahu tanding di GRC East Coast

Apr 19, 2025 | 5:05 PM
Encik Chia Yun Kai, pemimpin Parti Paling Berharga (MVP) mahu bertanding di GRC East Coast.
Encik Chia Yun Kai, pemimpin Parti Paling Berharga (MVP) mahu bertanding di GRC East Coast. - Foto ST

Seorang penduduk GRC East Coast, Encik Chia Yun Kai, 32 tahun, telah menyuarakan minat bertanding di kawasan undi tersebut dalam pilihan raya akan datang dan masih mencari dua lagi calon untuk melengkapkan pasukannya, Parti Paling Berharga atau ‘Most Valuable Party’ (MVP).

“Kami masih dalam proses mencari dua calon terakhir, salah seorangnya minoriti. Kami masih menerima permohonan untuk calon berpotensi sehingga 22 April,” kata Encik Chia.

Beliau ditemui wartawan di Bedok South Road pada 19 April setelah bertembung dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang turut sedang mendekati penduduk.

Pertemuan tersebut kelihatan positif dengan beliau sempat bergambar bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman; dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Beliau juga bertemu Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang sedang berinteraksi dengan penduduk di daerah New Upper Changi Road.

Tinjauan Berita Minggu (BM) pada 19 April mendapati bahawa akaun Instagram Encik Chia dibuka kurang sebulan lalu dan mempunyai kira-kira 250 pengikut dengan hantaran menyeru warga Singapura yang berminat menceburi politik agar mengirim permohonan mereka kepada nombor WhatsApp yang tertera.

Dalam hantaran Instagramnya, beliau juga menekankan bahawa partinya bukan “bahan jenaka”, malah adalah untuk warga Singapura yang benar-benar mahu mendatangkan perbezaan dalam politik hari ini.

“Jenaka yang sebenar adalah keadaan sedia ada,” tulisnya.

Ketika ditanya media tentang dua calon lain yang bakal bertanding bersamanya, Encik Chia enggan mendedahkannya, sambil membuat perbandingan dengan parti lain di GRC East Coast, yang setakat ini belum lagi mengesahkan barisan yang akan bertanding, baik PAP mahupun Parti Pekerja (WP).

Mengulas lanjut tentang calon yang dicari untuk menjadi sebahagian partinya, Encik Chia berkata mereka perlu mampu membayar deposit sendiri, perlu ada minat mendalam untuk berkhidmat, mampu memberi huraian, dan harus fasih berbicara tidak kira dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu atau Tamil.

“Kriterianya universal dan umum kerana parti saya bertujuan berkhidmat kepada warga Singapura, bukan untuk berkhidmat kepada orang muda atau generasi lebih tua. Ia adalah untuk berkhidmat kepada semua orang. Saya bukan ingin menentang PAP atau WP.

“Kami telah menghubungi WP untuk mendapatkan konsensus mereka atau bekerjasama dengan mereka tetapi mereka belum membalas kami,” ujarnya.

Menyentuh tentang apa isu yang ingin diperjuangkannya pula, Encik Chia berkata antaranya ialah mengenai geran dan ke mana ia disalurkan.

Menukil contoh, beliau berkata geran $300 juta yang diperuntukkan bagi mempertingkat seni kebudayaan boleh digunakan dengan lebih baik untuk membantu penduduk menangani kos sara hidup dan kehidupan harian.

“Apa yang saya tawarkan kini berbeza... Apa yang saya boleh tawar adalah huraian berkesan memandangkan saya telah bekerja selama lapan tahun dalam industri privet, sektor korporat.

“Saya belajar amalan terbaik daripada beberapa syarikat berbilang negara (MNC) setempat dan asing. Dari segi apa yang saya boleh tawarkan, ia tentunya lebih daripada apa yang boleh ditawarkan mana-mana penjawat awam,” kata Encik Chia, yang berharap dapat memberi pengalaman istimewa bagi warga Singapura yang bakal keluar mengundi pada 3 Mei ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg