Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaliki dilantik ke Lembaga Penasihat Global Asia Gulf Holdings
Kenyataan syarikat pelaburan sorot pengalaman luas bidang diplomasi, dasar awam dan hal ehwal antarabangsa yang dimiliki mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri itu
Maliki dilantik ke Lembaga Penasihat Global Asia Gulf Holdings
Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga mantan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, telah dilantik ke Lembaga Penasihat Global Asia Gulf Holdings (AGH), iaitu kumpulan pelaburan dan syarikat induk Singapore Gulf Bank (SGB) yang berlesen di Bahrain.
Pelantikan tersebut diumumkan di Sidang Kemuncak Asia Gulf, satu mesyuarat undangan khas yang dianjurkan AGH dan Whampoa Group, di Hong Kong, pada 26 Oktober.
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan AGH.
“Hubungan ekonomi dan institusi antara Asia dengan Teluk semakin kukuh pada ketika aturan global sedang mengalami perubahan ketara.
“Dialog yang lebih erat antara pemerintah, pelabur dengan perniagaan dapat membantu kedua-dua rantau mengenal pasti kepentingan bersama dan membina hubungan jangka panjang yang lebih teguh,” kata Dr Maliki.
Kenyataan yang sama mengatakan bahawa Dr Maliki membawa pengalaman luas dalam bidang diplomasi, dasar awam dan hal ehwal antarabangsa, termasuk penglibatan dengan pemerintah di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Di AGH, beliau akan memberi nasihat mengenai perkembangan geopolitik, hubungan pemerintah serta kerjasama serantau.
Dr Maliki, yang telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) dari 2001 hingga 2025, telah berpengalaman bertugas di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).
Selain pelantikan Dr Maliki, AGH dalam kenyataannya turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Revolut Group, Encik Martin Gilbert, ke Lembaga yang sama.
Encik Gilbert membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam pengurusan aset sejagat dan pelaburan.
Beliau merupakan pengasas bersama Aberdeen Asset Management pada 1983, dan telah memimpin perniagaan tersebut selama 34 tahun sedang ia berkembang ke pasaran antarabangsa.
Di AGH, beliau akan memberi nasihat mengenai strategi pelaburan sejagat, pengurusan aset dan peluang pelaburan di seluruh Asia serta Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena), dengan memanfaatkan pengalamannya dalam memperuntukkan modal di pelbagai pasaran serta membina perniagaan pelaburan menerusi pelbagai kitaran ekonomi.
“Asia dan Timur Tengah menjadi semakin penting kepada pelabur global.
“Kedua-dua rantau mempunyai simpanan modal yang besar, kegiatan keusahawanan dan peluang pelaburan jangka panjang.
“Saya berharap dapat menyumbang kepada pemikiran AGH sedang ia mengenal pasti peluang di pasaran-pasaran ini,” ujar Encik Gilbert.
Dalam pada itu, pengerusi Lembaga Penasihat Global AGH, Cik Amy Lee, berkata bahawa Encik Gilbert membawa pengalaman mendalam dalam pelaburan sejagat dan pengurusan aset, manakala Dr Maliki membawa pengalaman puluhan tahun dalam diplomasi dan dasar awam.
“Secara bersama, mereka memperkukuh keupayaan Lembaga untuk menilai peluang dalam konteks kuasa politik dan ekonomi yang membentuk kedua-dua rantau ini,” tambah Cik Lee.