Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perniagaan keluarga syarikat TPC labur $12j sokong keluarga kurang bernasib baik

Sep 17, 2025 | 3:45 PM
Impact Week, desmond lee, TPC, Tsao Pao Chee, Chavalit Frederick Tsao
Persidangan ‘Impact Week’ 2025 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee (kanan), bersama pengerusi syarikat sektor swasta, Tsao Pao Chee (TPC), Encik Chavalit Frederick Tsao, pada 16 September. - Foto ZAOBAO

Seorang bapa yang menganggur menarik keluar empat anaknya daripada sekolah. 

Bagi membantu keluarga itu kembali kepada masyarakat, mantan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, mengajak anak perempuannya, seorang peguam, untuk membimbing kanak-kanak itu dalam pelajaran sebaik sahaja mereka mendaftar semula di sekolah.

Namun, perjalanan itu tidak mudah.

Menceritakan pengalaman tersebut, mantan menteri di Pejabat Perdana Menteri itu berkata anaknya pernah bertanya: 

“Apakah yang patut saya lakukan dengan keluarga yang tidak terdorong untuk menolong diri sendiri?”

Dr Maliki berkongsi pengalaman itu dalam persidangan ‘Impact Week’ yang menghimpunkan pemimpin dan pemacu perubahan barisan hadapan dari serata dunia.

Persidangan tersebut berlangsung dari 16 hingga 18 September di Pusat Konvensyen Suntec City, lapor The Business Times (BT).

Menyedari kesukaran mengubah pemikiran seseorang, syarikat sektor swasta, Tsao Pao Chee (TPC), yang dipengerusikan oleh peneraju generasi keempat TPC, Encik Chavalit Frederick Tsao, melancarkan Projek Transformasi Sosial di Fengshan (STP@FS) pada 16 September.

“Transformasi sosial bermula dengan transformasi diri,” kata Encik Tsao.

“Apabila kita memupuk kesedaran, daya tahan dan kasih sayang dalam diri sendiri, kita mewujudkan suasana untuk keluarga dan masyarakat kita berkembang maju.”

TPC akan melabur $12 juta sepanjang enam tahun dan dana itu akan digunakan untuk membina hab masyarakat di sekitar kawasan flat sewa di Fengshan.

Hab masyarakat itu antara lain bertujuan memberi sokongan kepada keluarga kurang bernasib baik melalui kemudahan dan khidmat pekerja sosial yang disediakan.

STP@FS bertujuan membantu keluarga yang kurang mendapat perhatian.

Justeru, 50 keluarga yang menerima bantuan melalui daya usaha itu merupakan mereka yang tidak mendapat bantuan daripada program sedia ada, termasuk program ComLink+ di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Keluarga itu dikenal pasti hasil kerjasama dengan Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, yang menjaga kawasan Fengshan.

“Dengan alat, sokongan dan keyakinan yang diberikan, ibu bapa lebih bersedia untuk membimbing anak mereka dalam persekitaran yang positif dan kondusif,” jelas Cik Hazlina.

STP@FS merupakan inisiatif Institut Octave di bawah TPC.

“Ia bukan soal wang semata-mata,” kata seorang jurucakap Octave, sambil menambah program itu lebih menekankan perubahan pemikiran setiap keluarga.

 “Jika seorang bapa berkata (kepada anaknya) tidak perlu bekerja keras… (dan terus) tinggal di flat sewa sahaja, bagaimana (anak itu) akan mendapat motivasi?”

Proses “mengubah kesedaran keluarga” merupakan salah satu cabaran utama dalam melaksanakan program itu, selain daripada kerjasama dengan pelbagai pihak dalam inisiatif tersebut, tambah jurucakap itu.

Mengenai kepentingan kerjasama antara orang awam dengan syarikat swasta seperti itu, jurucakap tersebut berkata ia merupakan langkah ke arah masyarakat “we first” (kita dahulu) yang diketengahkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Rapat Hari Kebangsaan 2025.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, yang merupakan tetamu terhormat persidangan ‘Impact Week’, berkata:

“Bagi sesetengah keluarga, isunya bukan sekadar menyediakan lebih banyak bantuan atau sumber.

“Ramai daripada mereka menghadapi rangkaian cabaran yang rumit, dan walaupun mereka berusaha sebaik mungkin, mereka sukar mengekalkan kemajuan.”

Beliau menambah di tengah-tengah “ketidaktentuan geopolitik yang ketara, dengan konflik di serata dunia”, terdapat peningkatan dalam “sifat tidak percaya kepada orang lain dan keengganan untuk bekerjasama”.

Mengenai ukuran kejayaan, jurucakap Octave berkata antara penunjuknya termasuk peningkatan permohonan daripada keluarga benefisiari untuk membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) serta kenaikan bilangan mereka yang berjaya mendapat pekerjaan.

Beliau menambah bahawa Octave sedang bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan pemerintah yang berkaitan, seperti Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), bagi menjayakan inisiatif itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg