Dalam landskap sejagat yang sentiasa berubah susulan kepimpinan politik yang tidak menentu dan sukar dijangka, Singapura mesti kekal teguh dengan prinsipnya sambil mengemudi diplomasi antarabangsa dengan penuh sensitiviti, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Beliau menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai konteks politik dan budaya unik dan hanya rakyat tersebut layak menilai kewibawaan pemimpin mereka.
“Kita tak boleh pilih siapa yang jadi pemimpin sesebuah negara, tapi kita boleh pilih bagaimana kita berurusan dengan mereka,” katanya dalam satu episod NoTapis, siri podcast Berita Harian.
“Yang penting, kita hormati proses demokrasi mereka, sama seperti kita mahu mereka hormati sistem kita,” tambahnya.
Namun begitu, Dr Maliki yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), turut menegaskan bahawa walaupun Singapura merupakan negara kecil, ia tetap terlibat dalam isu sejagat, khususnya undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
Menurutnya, pendekatan Singapura yang berkawan dengan semua, dan tidak bermusuh, telah membolehkan negara ini memainkan peranan yang dihormati, meskipun tidak memiliki saiz atau kuasa seperti negara-negara besar.
Mengulas tentang konflik di Gaza, Dr Maliki menekankan bahawa Singapura bukan hanya menyalurkan bantuan, bahkan turut aktif menyuarakan keprihatinan kepada semua pihak yang terlibat.
“Kita faham bahawa Israel berhak mempertahankan diri.
“Tetapi dalam mempertahankan diri, mereka tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa.
“Itu kami nyatakan secara terus kepada mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendirian Singapura bukan semata-mata bersifat simbolik, sebaliknya ia disusuli dengan tindakan nyata.
Misalnya, usaha Singapura menghantar bantuan melalui laluan darat dan udara, termasuk bekerjasama dengan negara seperti Jordan dan Mesir.
“Kita mungkin kecil, tetapi kita lakukan lebih daripada banyak negara lain.
“Bukan kerana kita hebat, tetapi kerana kita konsisten, dipercayai, dan bersedia bekerjasama,” katanya.
“Tapi kalau kita tak ada hubungan langsung, kita tak ada peluang langsung untuk menyuarakan pendirian kita.
“Diplomasi bukan tentang sokong atau setuju, ia tentang akses dan pengaruh,” tambahnya.
Selain menangani krisis, strategi jangka panjang Singapura bergantung pada usaha kekal relevan melalui kerjasama antarabangsa, perjanjian perdagangan bebas, dan penglibatan pelbagai hala.
Daripada menubuhkan Forum Negara Kecil (Foss) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga memeterai perjanjian perdagangan dengan negara lain, Singapura secara aktif mempelbagaikan hubungan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu sumber negara.
“Kita tak boleh bergantung pada satu negara atau satu sumber sahaja.
“Kita tak tahu bila landskap politik atau ekonomi akan berubah.
“Jadi kita perlu ‘sebar bakul kita’ dan mempelbagaikan hubungan, pasaran, dan rakan dagang kita,” jelas beliau.
Menyentuh tentang keperluan ekonomi domestik, Dr Maliki berkata, pelaburan asing, jaringan perdagangan, dan pengiktirafan antarabangsa adalah asas kepada kelangsungan pekerjaan dan taraf hidup rakyat Singapura.
“Relevan bukan hanya soal imej sejagat, malah, ia berkait rapat dengan realiti rakyat.
“Kalau kita tak dapat tarik pelabur, tak ada pekerjaan.
“Kalau tak ada peluang baru, gaji tak naik.
“Jadi bila kita bercakap tentang reputasi negara, itu sebenarnya tentang masa depan anak-anak kita juga,” katanya.
Beliau menambah bahawa keberadaan Singapura dalam perbincangan sejagat bukan secara kebetulan, tetapi hasil kerja keras, strategi teliti, dan keupayaan untuk mengenal pasti peluang yang timbul dengan adanya krisis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg