Pendekatan serampang berbilang mata adalah perlu untuk mencapai akses universal kepada air dan sanitasi.
Ia termasuk memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi, melibatkan masyarakat untuk menggalak penggunaan air yang bertanggungjawab, dan menangani jurang pembiayaan dalam kebersihan dan sanitasi air.
Ini dinyatakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, apabila berkongsi pengalaman Singapura semasa membincangkan isu memastikan terdapat akses kepada air dan kebersihan di Mesyuarat Menteri Pembangunan G20 (DMM) dan Mesyuarat Peringkat Menteri Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan di Rio de Janeiro, Brazil.
Beliau menghadiri mesyuarat dari 22 hingga 24 Julai itu atas undangan Kepresidenan G20 Brazil 2024.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 21 Julai, DMM, yang diadakan buat kali keempat, bertujuan mempercepat kemajuan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030.
Ini dilakukan melalui tumpuannya untuk memerangi ketidaksamaan, penyediaan perkhidmatan asas, terutamanya akses kepada air dan sanitasi, dan mengutamakan perkongsian bagi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, khususnya Kerjasama Tiga Pihak.
Di Brazil, Dr Maliki juga bertemu rakan sejawatannya dari negara lain, termasuk Menteri Ekonomi dan Perancangan Arab Saudi, Encik Faisal Al Ibrahim; dan Menteri Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Kerjasama Antarabangsa Mesir, Dr Rania Al Masha.
Mereka mengesahkan hubungan dua hala Singapura dengan negara masing-masing yang kukuh dan meneroka cara meningkatkan kerjasama.
Dr Maliki turut bertemu Timbalan Menteri Perancangan, Pemantauan dan Penilaian Afrika Selatan, Encik Seiso Joel Mohai.
“Di samping mengesahkan hubungan dua hala kami yang kukuh, saya menyatakan sokongan Singapura untuk Presidensi Afrika Selatan G20 pada tahun depan dan menawarkan bantuan kami dalam persiapan bagi Presidensi mereka,” kata Dr Maliki dalam satu catatan di Facebook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg