Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SSG lancar 10 Program Belajar Sambil Bekerja

Jul 17, 2024 | 7:36 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa berucap dalam pelancaran Pameran Bekerja Sambil Belajar SkillsFuture pada 17 Julai di Politeknik Republic.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa berucap dalam pelancaran Pameran Bekerja Sambil Belajar SkillsFuture pada 17 Julai di Politeknik Republic. - Foto ZAOBAO

Sebanyak 10 Program Bekerja Sambil Belajar (WSP) baru kendalian politeknik tempatan yang berbeza telah dilancarkan sebagai sebahagian daripada Pameran Bekerja Sambil Belajar SkillsFuture tahunan pada 17 Julai.

Dalam satu kenyataan bersama SkillsFuture Singapura (SSG) pada 17 Julai, program baru itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang bagi warga Singapura terlibat sama dalam sektor baru dan berkembang.

Antara program baru tersebut adalah Pasca-Diploma Bekerja Sambil Belajar (Diploma Spesialis dalam Penyelesaian Tangkas & Pembangunan, Keselamatan dan Operasi) kendalian Politeknik Nanyang dan Sijil Bekerja Sambil Belajar dalam Kejuruteraan Aeroangkasa kendalian Politeknik Ngee Ann.

Pelancaran 10 program baru itu diumumkan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang hadir sebagai tetamu terhormat di pameran tersebut – yang membentuk sebahagian daripada Festival SkillsFuture.

Semasa berucap, Dr Maliki, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata 10 program baru itu akan meliputi ekonomi Digital, Kehijauan dan Penjagaan, sekali gus meluaskan aspek latihan bagi pelajar yang terlibat.

Beliau berkata: “Program Bekerja Sambil Belajar memerlukan pihak majikan berganjak daripada mencari bakat sempurna yang dapat disesuaikan dengan serta-merta.

“Sebaliknya, mereka perlu menggajikan pekerja berpotensi, dan komited untuk melatih pekerja tersebut kepada kemahiran dan keupayaan lebih tinggi.

“SSG dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan terus menilai permintaan bagi Program Bekerja Sambil Belajar yang baru daripada syarikat dan pelajar serta menawarkan program baru untuk memenuhi permintaan sedemikian.”

Sejak dimulakan pada 2015, lebih 13,000 peserta dan lebih 3,000 syarikat telah meraih manfaat daripada program SSG itu, jelas kenyataan SSG.

Lebih daripada perangkaan tersebut, Dr Maliki berkata program tersebut telah menyerlahkan kepentingan kerjasama antara institusi, individu dan industri.

Ini setelah Program Bekerja Sambil Belajar memenuhi keperluan ketiga-tiga cabang sedemikian.

“Institusi memainkan peranan utama dalam memenuhi keperluan individu dan industri serta memudahkan penyepadanan terhadap minat kedua-dua pihak.

“Sebagai pakar kurikulum, institusi ini memberi nasihat kepada syarikat bagi kemahiran dan keupayaan yang dapat diraih dengan lebih baik ketika bekerja berbanding kaedah latihan formal,” kata beliau.

Di peringkat individu, beliau berkata pelatih atau pekerja di bawah program itu diambil oleh syarikat dan dibayar gaji, di samping mereka turut ditaja oleh syarikat untuk tingkatkan kelayakan lebih tinggi.

“Struktur program membenarkan pelajar sebegini untuk menggunakan pengetahuan yang diraih dalam kelas secara amali di tempat kerja,” tambah Dr Maliki, sambil menambah ia sekali gus dapat memenuhi tenaga kerja yang diperlukan syarikat.

Bagi cabang industri pula, beliau berkata syarikat yang turut serta “merupakan kunci kejayaan” dalam program sedemikian kerana syarikat sebegini adalah rakan kongsi utama.

“Perkembangan dan kesan positif yang telah tercapai melalui Program Belajar Sambil Bekerja hanya dapat dikecapi dengan setiap lapisan tampil ke depan,” katanya.

Bertemakan ‘Capai kemajuan dengan Program Bekerja Sambil Belajar’, pameran pada 2024 diadakan di Politeknik Republic dan memaparkan segmen fizikal dan maya seperti rerurai pameran dan dihadiri lebih 1,800 peserta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg