Golongan belia perlu diberi pendedahan kepada kumpulan agama berbeza agar mereka dapat lebih menghargai amalan, ritual dan sambutan tertentu yang dijalankan.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen bagi GRC East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata toleransi agama sering disebut-sebut tetapi ia memberi tanggapan bahawa terdapat penerimaan bagi kepercayaan dan amalan berbeza tetapi mungkin tanpa pemahaman.
Justeru adalah penting untuk memperdalamkan pemahaman itu supaya nilai dan pengajaran di sebalik amalan, ritual dan sambutan dapat dihargai.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), berkata demikian kepada media ketika ditemui semasa pengagihan 2,000 biskut suji kepada orang ramai dan penganut agama Buddha di dua kuil sempena Hari Vesak pada 22 Mei.
Biskut itu telah dibuat dan dibungkus terlebih dahulu pada 19 Mei oleh 55 relawan di bawah inisiatif East Coast Bakes for Vesak yang melibatkan relawan termasuk belia dari Rangkaian Belia Buddha dan Rangkaian Belia East Coast, serta anggota Harmony Circle East Coast dari pelbagai pertubuhan keagamaan dalam GRC East Coast.
Inisiatif itu bertujuan mengukuhkan persefahaman antara agama dan mendalami nilai memberi yang merupakan salah satu prinsip utama agama Buddha.
Biskut itu kemudian diagihkan oleh 40 relawan di Kuil Buddha Palelai dan Kuil Man Fatt Lam yang terletak di Bedok.
Menurut Dr Maliki, biskut berbentuk teratai itu melambangkan persahabatan serta pentingnya ajaran agama Buddha.
“Sedang kami mengedarkan biskut yang dibuat oleh sukarelawan kami ini, kami juga berkongsi dengan mereka tentang ajaran Buddha supaya mereka dapat memahami dan dapat membaca tentangnya. Mereka dapat menghargai mengapa penganut Buddha menyambut Hari Vesak dalam cara yang tertentu dan apakah amalan biasa mereka. Bagi setiap ritual yang mereka lakukan, ada nilai di sebaliknya seperti nilai kemanusiaan dan nilai rasa hormat,” kata Dr Maliki.
“Di sinilah pentingnya pendedahan. Kita perlu mendedahkan anak muda kita kepada kumpulan yang berbeza. Saya sangat gembira kerana acara hari ini dianjurkan oleh Rangkaian Belia Buddha – golongan muda yang percaya bahawa mereka perlu berhubung dengan rakan-rakan sebaya mereka dan mendalamkan tahap pemahaman mereka.
“Jadi sedang ia tidak mudah... kita sentiasa kata ia satu usaha berterusan... tetapi apabila kita melangkah ke hadapan, kita melihat masa depan di mana orang muda mengakui bahawa mereka mahukan kepelbagaian di Singapura, mereka mahu keterangkuman di Singapura dan mereka berusaha untuk berbuat demikian. Dan saya fikir ia adalah peluang yang baik untuk kita menyokong mereka,” tambahnya.
Antara relawan yang terlibat dalam proses membuat, membungkus dan mengagih biskut itu ialah Cik Nur Zahrah Yuko Yacob Hussain, 22 tahun, yang merupakan relawan bersama Siglap Harmony Circle.
“Melalui pengagihan biskut ini, saya dapat pelajari lebih mendalam tentang bagaimana orang lain daripada agama berbeza meraikan hari penting mereka kerana setiap agama mempunyai cara berbeza untuk meraikannya.
“Ini penting kerana Singapura adalah negara yang berbilang agama dan budaya, dan ini adalah antara sumbangan kecil yang dapat saya lakukan bagi memupuk semangat berbilang agama dan budaya dalam masyarakat kita,” kata mahasiswa tahun akhir Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg