Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), menekankan pentingnya dialog dan multilateralisme (fahaman pelbagai hala) dalam menangani cabaran geopolitik dan mengekalkan hubungan Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semasa lawatannya ke Riyadh, Arab Saudi.
Beliau ke sana bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) mengenai Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.
Dr Maliki juga menghadiri Dialog Strategi Serantau Bersama: Asean-GCC, menurut kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 28 April.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 29 April, Dr Maliki mengulangi potensi kerjasama Asean-GCC yang lebih kukuh dalam banyak bidang pertumbuhan serta kepentingan perkongsian, terutama dalam kalangan penduduk muda untuk menghargai wilayah masing-masing dan membina rangkaian dan perhubungan yang berkekalan.
“Semasa Majlis Makan Tengah Hari Perhimpunan Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi Dunia, kami bincangkan keselamatan antarabangsa dan landskap geopolitik yang membimbangkan. Kami semua bersetuju bahawa multilateralisme adalah satu-satunya jalan ke hadapan,” katanya dalam hantaran Facebook yang sama.
Semasa lawatannya itu, Dr Maliki bertemu dengan rakan-rakan Menteri Asean termasuk Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto; Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Arifin Tasrif; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan semula hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Singapura dengan kerajaan Arab Saudi, dan mengalu-alukan peningkatan hubungan dua hala ini ke satu Perkongsian Strategik, melalui pertemuannya dengan Menteri Perkhidmatan Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh bin Nasser Al Jasser.
“
“Semasa Majlis Makan Tengah Hari Perhimpunan Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi Dunia, kami bincangkan keselamatan antarabangsa dan landskap geopolitik yang membimbangkan. Kami semua bersetuju bahawa multilateralisme adalah satu-satunya jalan ke hadapan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg