Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Perkukuh hubungan dua hala S’pura, Afrika Barat; cipta lebih peluang ekonomi

Kini dalam lawatan rasmi ke Ivory Coast dan Nigeria
Nov 22, 2024 | 3:45 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah, barisan hadapan), bertemu pemimpin-pemimpin Ivory Coast semasa lawatannya ke negara itu pada 18-23 November.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah, barisan hadapan), bertemu pemimpin-pemimpin Ivory Coast semasa lawatannya ke negara itu pada 18-23 November. - Foto FACEBOOK MOHAMAD MALIKI OSMAN

Singapura berhasrat mencipta lebih banyak peluang untuk perniagaan tempatan di Afrika Barat dan menarik perniagaan dari rantau itu ke Singapura, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman. 

Dr Maliki, yang telah melengkapkan lawatan rasmi ke Ivory Coast dan Nigeria (18-23 November), menyatakan harapannya agar usahawan dari rantau Afrika Barat melihat Singapura sebagai pintu masuk utama ke ekonomi di Asean dan rantau ini. 

Satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 22 November berkata Dr Maliki telah bertemu pemimpin kanan pemerintah kededua negara itu untuk mengukuhkan hubungan dua hala, menggalakkan kerjasama ekonomi serta meneroka peluang pertumbuhan bersama.

Di Nigeria, Dr Maliki telah bertemu pegawai kanan Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pendidikan.

Kededua pihak akur hubungan lama yang terjalin antara Nigeria dengan Singapura dan berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan dan perundingan dua hala, tambah MFA.

Beliau juga telah bertemu Presiden Kumpulan Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (Ecowas), Encik Omar Alieu Touray, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, serta mengesahkan semula peranan kumpulan serantau dalam menegakkan multilateralisme dan aturan antarabangsa berasaskan undang-undang.

Selain menghadiri sesi bersama Sekolah Perniagaan Lagos dan Universiti Teknologi dan Pengurusan Nigeria dan melawat Masjid Kebangsaan Abuja di Nigeria, Dr Maliki turut menganjurkan majlis resepsi untuk warga Singapura Luar Negara di Lagos.

Semasa melawat Masjid Kebangsaan Abuja, Dr Maliki berkata: “Cote d’Ivoire (Ivory Coast) dan Nigeria merupakan dua negara yang penting bagi Singapura kerana benua Afrika merupakan benua baru yang dikatakan pesat membangun dan berkembang. 

“Kami di sini bertujuan untuk terus mengeratkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Singapura dengan Cote d’Ivoire, dan juga Singapura dengan Nigeria.”

Beliau turut menekankan kehadiran usahawan Singapura di Nigeria, dengan pelaburan mencapai S$4.5 bilion setakat ini.

Dengan jumlah penduduk sekitar 220 juta, Dr Maliki berkata Nigeria adalah antara negara terbesar di Afrika yang menawarkan potensi ekonomi yang pelbagai kepada Singapura. 

Hubungan ekonomi antara Singapura dengan Nigeria merupakan antara asas utama dalam hubungan yang lebih luas.

Perdagangan barangan mencapai sekitar $450 juta pada 2023 manakala perdagangan perkhidmatan mencatat sekitar $1.3 bilion pada 2022. 

Ini menjadikan Nigeria, sebuah ekonomi baru muncul di Afrika Barat, sebagai rakan perdagangan Singapura terbesar di rantau itu dan penting bagi Singapura untuk terus meneroka bersama. 

Beberapa syarikat Singapura seperti Tolaram dan Olam kini menjalankan operasi mereka di Nigeria, terutama dalam bidang perniagaan pertanian, minyak dan gas serta pengurusan pelabuhan.

Kesemua mereka beroperasi dengan baik, kata Dr Maliki yang bertemu mereka semasa lawatannya ke Lagos, ibu kota komersial Nigeria.

Kehadiran syarikat Singapura di negara itu lantas membuktikan bahawa hubungan ekonomi antara Singapura dengan Nigeria kekal kukuh.

Selain Nigeria, hubungan perdagangan Singapura dengan Ivory Coast juga kukuh.

Mengambil perdagangan dua hala sebagai contoh, Dr Maliki berkata Singapura menyaksikan peningkatan lebih 45 peratus pada 2022.

Sementara itu, perkhidmatan perdagangan turut meningkat lebih 75 peratus antara 2021 dengan 2022. 

Pelaburan Singapura ke Ivory Coast kini mencapai sekitar $460 juta setakat ini, tambah beliau yang menyerlahkan ekonomi Afrika sedang pesat berkembang. 

Lantas, Ivory Coast – dengan penduduk sekitar 30 juta – merupakan antara rakan kongsi penting bagi Singapura dari segi ekonomi, kata Dr Maliki.

Lawatannya ke Ivory Coast akan membantu “memperkukuh dan memperdalam hubungan Singapura dengan negara itu” dan pada masa yang sama “membuka peluang baru untuk bekerjasama”, ujarnya.

Dr Maliki turut mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri semasa di Ivory Coast antaranya Menteri Ehwal Luar, Encik Kacou Houadja Leon Adom; Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Souleymane Diarrassouba; Menteri Pendidikan Kebangsaan dan Literasi, Cik Mariatou Kone; dan Menteri Pendidikan Teknikal, Latihan Kemahiran dan Perantisan, Encik Koffi N’Guessan.

Beliau juga bertemu pegawai kanan dari Bank Pembangunan Afrika.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk “cara memperkukuh hubungan dua hala ke arah yang lebih baik”.

Selain menjadi tuan rumah meja bulat perniagaan bersama wakil syarikat Singapura di Ivory Coast, Dr Maliki bertemu wakil dari Konfederasi Umum Perusahaan Ivory Coast untuk mendapatkan pandangan daripada masyarakat perniagaan mengenai cara memupuk hubungan ekonomi yang lebih erat antara kededua negara, tambah MFA.

Dr Maliki berharap lawatan itu akan membuka lebih banyak peluang perniagaan. 

“Pada masa yang sama, saya berharap ia dapat menarik minat sektor perniagaan Nigeria untuk datang ke Singapura, melihat Singapura sebagai pintu masuk ke Asean serta ekonomi dan pasaran yang ditawarkan oleh Asean kepada mereka,” tambah beliau.

Singapura akan menyambut ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik dengan Nigeria pada 2025 dan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik dengan Ivory Coast pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg