Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif sukarelawan organisasi galak kerja masyarakat membina

Nov 10, 2024 | 6:10 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman, yang juga penasihat kepada M³ dan Akar Umbi Melayu berkata M³ akan terus memperkasa masyarakat Melayu/Islam dengan pelancaran inisiatif sukarelawan organisasi.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman, yang juga penasihat kepada M³ dan Akar Umbi Melayu berkata M³ akan terus memperkasa masyarakat Melayu/Islam dengan pelancaran inisiatif sukarelawan organisasi. - Foto BH oleh KHALID BABA

M Kuasa Tiga (M³) terus memperkukuh usaha memperkasa masyarakat dengan pelancaran inisiatif sukarelawan organisasi, yang bertujuan menggalak syarikat dan pertubuhan melibatkan kakitangan mereka dalam kerja sukarelawan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman.

Mengumumkan demikian semasa Forum M³ pada 10 November, Dr Maliki, yang juga juga penasihat M³ dan Akar Umbi Melayu, berkata inisiatif yang memberi tumpuan kepada sumbangan masyarakat melalui Projek Dian, bertujuan memperluaskan jangkauan M³ dan memberi sokongan lebih banyak kepada keluarga Melayu/Islam di seluruh Singapura. 

Forum M³ itu diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central sempena ulang tahun kelima M³.

Dr Maliki berkata: “Pada awal 2024, kami memperkenalkan inisiatif sukarelawan organisasi untuk meraih sokongan daripada organisasi dan syarikat, agar kakitangan mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat melalui Projek Dian. 

“Ini lebih daripada sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ia mencerminkan komitmen korporat dan majikan untuk menyokong dan mengiktiraf usaha sukarela berterusan daripada kakitangan mereka.”

Dalam usaha menggembleng tenaga lebih ramai sukarelawan, M³ telah memulakan inisiatif tersebut, dengan rangkaian itu bekerjasama dengan pertubuhan yang akan mengenal pasti kakitangan mereka yang berminat melakukan kerja sukarelawan.

Dr Maliki turut menekankan bahawa terdapat masih banyak lagi yang boleh dicapai bersama. 

“Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk mendekati lebih banyak keluarga Melayu/Islam di seluruh Singapura,” tambah beliau.

Sejauh ini, tiga pertubuhan telah bekerjasama dengan M³ – Hospital Besar Changi (CGH), Public Service for Good (PSFG) dan Taqwa Financial Services.

Sekitar 50 kakitangan CGH, 70 daripada PSFG dan 30 hingga 50 daripada Taqwa Financial Services telah melahirkan minat melakukan kerja sukarelawan dalam program M³.

Penglibatan dalam talian pertama bersama pegawai perkhidmatan awam menarik seramai 100 peserta, dengan 70 peratus daripada mereka mendaftar untuk menjadi sukarelawan dengan M³ selepas sesi tersebut, kata Dr Maliki.

Turut hadir pada Forum M³ ialah sukarelawan organisasi pertama M³, Hospital Besar Changi (CGH).

Dr Maliki berkongsi bahawa CGH telah melaksanakan kerja kemasyarakatan pertama dengan keluarga dari Projek Dian, melalui usaha membawa seramai 20 kanak-kanak bersama ibu bapa mereka untuk perjalanan pembelajaran ke KidZania. 

“Persekitaran di luar sekolah ini menggalakkan perbualan positif dengan kanak-kanak untuk meneroka pilihan kerjaya, meskipun pada usia yang masih muda,” ujar beliau.

Projek Dian@M³ dimulakan sebagai projek perintis pada 2021. Ini sebelum ia dikembangkan ke tiga bandar baru pada 2024. Kini, lebih 535 isi rumah Melayu/Islam telah dihubung di seluruh enam M³@Towns di mana Projek Dian telah dilaksanakan.

Menelusuri perjalanan lima tahun M³, Dr Maliki menyatakan terdapat peningkatan dalam bilangan sukarelawan.

Beliau berkata: “Kita bermula dengan visi untuk menggabungkan dan menggemblengkan tenaga yang ada dalam kalangan institusi utama kita iaitu Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra). Setelah lima tahun, kita melihat bagaimana usaha ini telah berjaya menarik lebih ramai sukarelawan.

“Menerusi M³ kami telah dapat menarik mereka dan mengenal pasti jenis kepakaran yang boleh mereka sumbang kepada masyarakat melalui kepimpinan yang mereka tonjolkan.”

Lebih ramai para sukarelawan dari latar belakang yang berbeza telah tampil sepanjang lima tahun ini, sekitar 4,000, tambah Dr Maliki.

Beliau turut menekankan kepentingan sukarelawan dan peranannya dalam membina asas masyarakat dinamik yang berdedikasi untuk menyumbang semula kepada kebaikan bersama.  

 “Pada awal 2024, kami memperkenalkan inisiatif sukarelawan organisasi untuk meraih sokongan daripada organisasi dan syarikat, agar kakitangan mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat melalui Projek Dian... Ia mencerminkan komitmen korporat dan majikan untuk menyokong dan mengiktiraf usaha sukarela berterusan daripada kakitangan mereka.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg