MINA: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, mengungkapkan terima kasih kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, atas kepimpinan dan kejayaan pengurusan haji 2024 Arab Saudi.
Dr Maliki menyatakan demikian semasa majlis jamuan khas di Mina, yang dihadiri pemimpin agama dan ketua delegasi haji dari seluruh dunia, pada 17 Jun.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Jun, Dr Maliki berkata beliau berbesar hati atas undangan Putera Mahkota Mohammed ke majlis itu, dan memuji proses ibadah haji yang dijalankan.
“Ketika di majlis tersebut, saya berpeluang menyampaikan rasa terima kasih kepada Putera Mahkota atas kepimpinannya yang hebat dan kejayaan pengurusan haji tahun ini (2024),” ujar Dr Maliki, yang turut berasa bangga dengan amanah sebagai Ketua Delegasi Haji Singapura 2024.
“Pengurusan teliti serta layanan baik yang diberikan Arab Saudi memastikan perjalanan haji lancar dan memperkukuhkan kerohanian semua jemaah.”
Sementara itu, Putera Mohammed berkata Arab Saudi sentiasa mengutamakan keselesaan jemaah.
“Kami sedang berusaha serta memanfaatkan segala kemampuan kami untuk menyediakan keselesaan bagi tetamu Allah supaya mereka tiba dan pulang ke rumah dengan selamat dan selesa,” kata beliau.
Menurut akhbar Saudi Gazzette, kementerian relevan di Arab Saudi telah mengusahakan beberapa kemudahan.
Ia termasuk dari sudut pengangkutan, seperti khidmat bas awam berterusan, yang membantu jemaah berangkat dari Masjidil Haram ke Mina pada Hari Tasyrik; kemudahan kereta api Mashaer, yang membawa jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina; dan Kereta Api Laju Haramain, yang akan terus beroperasi dan bakal melakukan lebih 3,800 perjalanan dalam musim haji 2024.
Kemudahan itu ditambah dengan kad pengenalan Nusuk, yang diperkenalkan pada 2024 oleh Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi bagi membendung jemaah yang melakukan haji secara haram.
Menurut Dr Maliki dalam satu hantaran di Facebook pada 15 Jun, langkah tersebut tidak menyusahkan urusan ibadah haji jemaah, sebaliknya mempermudahkan.
Ini kerana kementerian itu dapat mengawal jumlah jemaah yang berada di tempat ibadah agar tidak melebihi jumlah yang mampu ditampung.
Di majlis itu, Dr Maliki mengambil peluang bertemu beberapa pemimpin agama dan ketua delegasi dari seluruh dunia, seperti Mufti Mesir, Mufti Thailand, Menteri Haji dari Jordan dan Algeria, Menteri Agama Turkey, serta ketua-ketua delegasi dari Turkey, Mauritius, China dan India.
“Interaksi sebegini sangat berharga. Ia dapat membina semangat kesatuan dan kerjasama masyarakat Muslim sedunia.
“Haji tahun ini (2024) telah mencerminkan kekuatan iman kita bersama dan kepentingan untuk kita bersatu dalam ibadah dan persaudaraan,” tambah Dr Maliki, yang sudah selesai melakukan ibadah melontar jamrah terakhir pada 18 Jun selepas solat subuh.
Beliau dijadual menghadiri majlis penutup Haji 2024 di Kementerian Haji dan Umrah pada 18 Jun sebelum bertolak ke Madinah pada 20 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg