Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Jemaah haji S’pura dalam keadaan baik, bersemangat

Jun 14, 2024 | 5:32 PM
jemaah haji Singapura
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (berdiri tengah), yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, bertemu jemaah Singapura, termasuk rombongan dari Hagel Travel & Tours, ketika berada di Shisha, Makkah. - Foto MUIS

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, bertemu jemaah haji Singapura yang menyertai ejen penjualan (GSA) pakej haji Singapura, di Shisha, Makkah, sebelum mereka memulakan perjalanan ke Arafah.

Dalam beberapa hantaran di Facebook pada 13 dan 14 Jun, Dr Maliki, yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, berkata jemaah berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk memulakan ibadah haji mereka.

Beliau bertemu dengan jemaah dari agensi pelancongan Hahnemann Travels & Tours, TM Fouzy Travel & Tours dan juga Jalaluddin Travel & Services, antara lain.

Dr Maliki berkata beliau gembira melihat keghairahan dan semangat tinggi yang ditunjukkan anggota jemaah yang berkongsi dengannya cara mereka menghadapi cuaca panas di sana.

“Ia memberi saya rasa kerendahan hati melihat dedikasi dan semangat mereka ketika mereka memulakan perjalanan haji yang penuh bermakna ini.

“Keimanan dan keazaman mereka benar-benar mengagumkan, dan ia merupakan satu peringatan terhadap perpaduan dan ketakwaan yang dapat diraih daripada perjalanan haji ini,” kata beliau.

Dr Maliki turut bertemu mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pergerakan.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Azhar Talib, yang sukar bergerak selain mempunyai keadaan perubatan yang mencabar. Beliau ditemani isterinya.

“Pengorbanan beliau (isteri Encik Azhar) menyokong suaminya merupakan sesuatu yang memberi kita kesedaran dan saya gembira melihat jemaah haji dan pegawai lain memastikan beliau menerima bantuan yang diperlukan bagi memenuhi hasrat suaminya menunaikan haji,” ujar Dr Maliki. 

Beliau menambah bahawa Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bersama ejen pelancongan terus bersedia untuk menyediakan sokongan dan penjagaan bagi anggota jemaah haji yang memerlukan bantuan khas, memastikan pengalaman haji mereka lancar dan selesa sebaik yang mungkin.

“Pasukan ini komited untuk memastikan individu seperti Encik Azhar menerima penjagaan dan perhatian sewajarnya, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perjalanan rohani mereka tanpa sebarang kebimbangan,” tambahnya.

Dr Maliki juga mengambil kesempatan mengingatkan jemaah haji Singapura tentang kepentingan menjaga kesihatan mereka dengan meminum air di tengah-tengah cuaca panas di sana.

Beliau turut menggalak mereka memuat turun aplikasi PilgrimSG untuk bantuan dan sokongan sekiranya diperlukan.

Dalam hantaran di Facebooknya, Dr Maliki turut meluahkan penghargaan kepada agensi pelancongan dan pasukan mereka kerana menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menjaga jemaah haji Singapura.

“Dedikasi dan komitmen kakitangan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan jemaah amat mengagumkan,” ujarnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg