Rekaan tempat peranginan terbaru, Mandai Rainforest Resort, yang mengambil inspirasi alam semula jadi, akan dibuka pada April 2025.
Tempat peranginan tersebut terletak di tengah-tengah lima taman hidupan liar Mandai Wildlife Reserve iaitu Taman Haiwan Singapura, Night Safari, River Wonders, Bird Paradise, serta Rainforest Wild yang akan datang.
Dengan mempunyai 338 bilik, tempat peranginan Mandai Rainforest Resort dikendalikan rangkaian hotel mewah, Banyan Tree, bertujuan menyepadukan seni bina dengan alam semula jadi, kata Mandai Wildlife Group pada 18 Disember.
Pembinaan tempat peranginan itu di ruang seluas 4.6 hektar, dikelilingi pokok-pokok.
Pintu masuk ke Mandai Rainforest Resort diapit pokok hujan-hujan dan pokok mempari, kededuanya dikekalkan di tempat penumbuhan asalnya.
Bilik-biliknya juga akan mempunyai tingkap yang boleh dibuka sepenuhnya, membenarkan pengudaraan semula jadi.
Suhu bilik akan dikawal mengikut suhu dingin atmosfera di hutan hujan tropika.
Setiap bilik akan ada paparan interaktif yang menunjukkan aras penggunaan kuasa elektrik.
Paparan ini akan memberi peringatan apabila penggunaan kuasa elektrik melebihi tahap yang disyorkan.
Air hujan yang turun juga akan dikumpul dan diguna semula untuk sistem pengepaman setiap bilik.
“Kami menjemput semua pengunjung di sini menikmati pengalaman menjadi tetamu alam semula jadi,” kata Encik Teo Joo Leng, ketua pegawai produk Mandai Wildlife Group.
Mandai Rainforest Resort merupakan tempat peranginan Singapura pertama yang mencapai status Tenaga Rendah Pensijilan Green Mark Platinum Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).
Untuk disahkan sebagai bangunan tenaga rendah, bangunan harus menunjukkan penjimatan tenaga sekurang-kurangnya 60 peratus menurut tanda aras 2005.
Tempat peranginan tersebut juga akan mempunyai dewan serba guna yang memuatkan 300 tetamu, spa Banyan Tree, bilik mesyuarat, gim dan kolam renang berbumbung.
Tetamu Mandai Rainforest Resort akan mendapat akses eksklusif, seperti kunjungan awal pagi ke Bird Paradise dan lawatan interaktif bagi kanak-kanak di Taman Haiwan Singapura.
Mereka juga boleh mendapat harga masuk yang istimewa ke taman dan program yang disediakan.
Pengurus besar Mandai Rainforest Resort, Encik Glen Cook, berkata peranginan tersebut akan “menjadi tempat permulaan yang terbaik bagi warga Singapura dan pelancong untuk mengenali kehebatan alam semula jadi dan hidupan liar”.
“Kami menjemput semua untuk mengalami suasana seperti di rumah, di mana setiap detik merangsang minda, teroka penemuan baru dan merasakan hubungan yang lebih mendalam dengan persekitaran,” kata Encik Cook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg