Topik diikuti
Pergi ke BHkuManfaatkan bahasa, dalami budaya Melayu demi eratkan hubungan serantau
Terdapat manfaat untuk warga Singapura mempelajari Bahasa Melayu dan mendalami budaya Melayu memandangkan kedudukan Singapura di rantau ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan bahasa Melayu Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau pada 23 Ogos.
Kedudukan Singapura membantu mengeratkan hubungannya dengan negara jiran serantau, di samping mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Singapura dan perniagaan tempatan, tambah Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
“Memandangkan kedudukan kita di rantau ini, ada baiknya jika rakyat Singapura belajar Bahasa Melayu dan lebih mendalami budaya Melayu.
“Pertalian ini bukan sahaja tentang warisan kita. Malah, ia membantu kita mengeratkan hubungan dengan jiran-jiran serantau dan membuka lebih banyak peluang untuk rakyat dan perniagaan Singapura,” ujar Encik Wong.
Beliau memetik syarikat pengeluar makanan beku halal, Pondok Abang, sebagai satu contoh jenama tempatan yang memanfaatkan pasaran serantau dan kini telah menebarkan sayap ke Brunei dan Malaysia.
Pondok Abang diasaskan oleh Encik Abdul Rahman Yad Ali pada 1990 dan kini diuruskan anaknya, Encik Mohd Hasan Basri Abdul Rahman.
“Hasan sedar pasaran untuk masakan tradisional Melayu semakin berkembang di rantau ini. Kini, Pondok Abang sudah pun bertapak di Brunei dan Malaysia, dan bakal tebarkan sayap ke negara-negara jiran lain,” kata Encik Wong.
Selain itu, Encik Wong turut berkongsi pengalaman meluangkan masa bersama masyarakat Melayu/Islam, di mana beliau dapat merasakan semangat dan rasa bangga masyarakat terhadap jati diri dan warisan mereka.
Satu contoh ia terserlah ialah semasa pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM), yang menyaksikan perarakan budaya diadakan di sekitar Kampong Gelam.
“Kampong Gelam ialah tempat yang istimewa untuk kita semua. Ia mengingatkan kita akan hubungan erat kita dengan rantau ini.
“Ia juga sebahagian daripada sejarah dan warisan yang kita kongsi bersama. Kita hargai pertalian ini.
“Sebab itulah Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan kita, bahasa Lagu Kebangsaan kita, dan juga bahasa arahan Angkatan Bersenjata Singapura. Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada identiti Singapura,” kata Encik Wong.
