Selepas gambar J (bukan nama sebenar), 32 tahun, yang dilihat mengenakan seluar pendek dan baju singkat dalam MRT dimuat naik ke kumpulan Facebook ‘Complaint Singapore’ meraih ratusan ribu tontonan dan komen kurang sensitif, beliau mula rasa tertekan sehingga menjejaskan tumpuannya kepada kerja.

Gambar itu, yang kali pertama dimuat naik pada Ogos 2024 dan sekali lagi pada Ogos 2025, menjadi tular apabila orang ramai mula mencari lokasi yang pernah dikunjunginya dan tempat beliau bekerja.

“Saya berasa agak tertekan dan tidak selesa kerana sepanjang perkara ini berlaku, saya masih perlu pergi bekerja seperti biasa dan MRT masih menjadi pengangkutan utama saya.

“Keadaan ini turut menjejaskan tumpuan saya di tempat kerja dan saya merasakan bahawa dalam tempoh tersebut, prestasi saya di tempat kerja tidak berada pada tahap terbaik.

“Dari segi hubungan peribadi pula, keadaan ini juga amat memberi tekanan kerana orang yang biasanya mengambil kesempatan terhadap sikap saya yang peramah, mula berasa tidak senang apabila saya tidak lagi ceria seperti biasa, dan tidak dapat memberikan sokongan kepada mereka seperti sebelumnya,” kongsi J kepada Berita Harian (BH).

Berkongsi lebih lanjut, J berkata pada 2024, beliau dimaklumkan mengenai hantaran tentang dirinya itu oleh seorang rakan.

Rakan itu memberitahu bahawa ibu saudaranya telah berkongsi hantaran itu ke dalam kumpulan sembang keluarga mereka dengan komen sinis, dan kemudian menyedari bahawa individu itu adalah J.

Perkara serupa berlaku pada 2025, apabila J dimaklumkan tentang hantaran mengenai dirinya oleh seorang pengikut di Instagram, yang bimbang akan kesejahteraan J dan tertanya-tanya sama ada J mempunyai ‘hater’ atau seseorang yang membenci dirinya.

“Saya mula berasa bimbang apabila hantaran itu mendapat lebih banyak tontonan dan tidak ‘hilang’ dengan cepat seperti yang saya jangkakan.

“Sewaktu keadaan menjadi tidak terkawal setelah orang ramai mula membuat hantaran mengenai lokasi yang pernah saya kunjungi, tempat saya bekerja dan sebagainya, saya membuat laporan polis,” kongsi J.

Selain laporan polis, laporan kepada platform Meta yang mengendalikan Facebook dan Instagram, turut dibuat oleh J dan teman-temannya, namun tiada tindakan diambil oleh platform tersebut kerana hantaran berkenaan “tidak melanggar garis panduan komuniti”.

J akhirnya memutuskan untuk mendapatkan bantuan SHECARES selepas pihak polis tidak dapat campur tangan secara langsung kerana kesnya tidak dianggap sebagai pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran atau doxing, melainkan keadaan tersebut menjadi lebih serius.

Melalui SHECARES, pusat yang menawarkan bantuan kepada mangsa bahaya dalam talian, beliau menemui individu yang memahami situasinya walaupun mereka tidak dapat campur tangan secara langsung.

Ia amat membantu, kongsi J, kerana beliau tidak lagi rasa keseorangan.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), J berkata beliau yakin kes buli dalam talian akan menjadi kurang berleluasa kerana kini terdapat cabang pemerintah yang sah untuk mengambil tindakan undang-undang bagi pihak mangsa.

Menurutnya, kewujudan badan tersebut sendiri merupakan faktor pencegah dan diharapkan dapat mengurangkan hantaran berunsur kebencian dalam talian.

Lebih daripada 500 laporan telah diterima dengan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan sejak OSC ditubuhkan pada 29 Jun.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti