Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa ditipu $36 juta kurang 2 bulan dek pelaburan di media sosial, kumpulan sembang

Aug 14, 2024 | 4:47 PM
Terdapat 897 kes penipuan pelaburan dilaporkan sejak Julai, kata polis pada 14 Ogos.
Terdapat 897 kes penipuan pelaburan dilaporkan sejak Julai, kata polis pada 14 Ogos. - FOTO: ST FAIL

MANGSA kerugian sekurang-kurangnya $36 juta dalam masa kurang dua bulan, gara-gara ditipu melalui pelaburan palsu dalam kumpulan sembang dan platform media sosial, kata polis.

Dalam satu kenyataan pada 14 Ogos, polis berkata terdapat 897 kes penipuan pelaburan dilaporkan sejak Julai, di mana mangsa telah dipancing untuk menyerahkan wang untuk disalurkan ke dalam pelaburan, yang kemudian didapati adalah suatu penipuan, lapor The Straits Times.

Baru-baru ini, penipu menggunakan dua kaedah. Pertama, mangsa dikumpulkan ke dalam kumpulan sembang atau saluran komunikasi, seperti Telegram, dan penipu berpura-pura menjadi orang terkenal atau syarikat bereputasi, kata polis..

Orang yang tidak dikenali dalam kumpulan sembang, kemudian akan mendakwa telah mendapat keuntungan daripada pelaburan mereka, dan ditunjukkan tangkapan skrin keuntungan mereka, dalam usaha meyakinkan mangsa bahawa pelaburan itu sahih dan menguntungkan.

Mereka ditawarkan pelan pelaburan, dan diminta memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun bank, nama dan nombor telefon, dan memindahkan wang ke akaun bank dan PayNow yang ditentukan.

Kaedah kedua melibatkan penipu menghubungi mangsa melalui platform media sosial seperti Facebook atau WhatsApp, atau aplikasi temu janji seperti Coffee Meets Bagel.

Selepas membina hubungan dan mendapat kepercayaan mangsa, penipu akan bercakap dengan mereka tentang peluang pelaburan. Mereka yang berminat kemudian diminta memindahkan wang ke akaun bank atau PayNow tertentu.

Dalam kedua-dua senario, mangsa akan menyedari mereka telah ditipu hanya apabila mereka tidak dapat mengeluarkan keuntungan tersebut, walaupun telah memindahkan sejumlah besar wang.

Penipu juga kemudiannya tidak dapat dihubungi, kata polis.

Bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, polis menggesa orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berikut:

TAMBAH - Ciri keselamatan, dengan tidak membenarkan pengguna yang tidak dikenali memasukkan anda ke dalam kumpulan sembang; menetapkan had transaksi untuk transaksi perbankan Internet; dan aktifkan pengesahan dua faktor.

SEMAK - Tiada syarikat pelaburan yang sah akan menyertakan anda ke dalam kumpulan sembang kumpulan untuk menjual peluang pelaburan. Pastikan kesahihan maklumat dengan bertanya seberapa banyak soalan untuk memahami peluang pelaburan, semak syarikat; pemilik, pengarah dan pengurusannya, untuk menilai sama ada peluang pelaburan adalah tulen, dan mengesahkan kelayakan syarikat dan wakil dengan menggunakan sumber yang ada, seperti Direktori Institusi Kewangan.

BERITAHU - pihak berkuasa, keluarga dan rakan tentang penipuan. Laporkan sebarang transaksi penipuan kepada bank anda dengan segera.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang penipuan serupa atau keraguan harus menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg