Walaupun pendakian yang pada asalnya dijadualkan pada pagi 21 Mei terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk, ia tidak mematahkan semangat Encik Emyr Uzayr Mohamed Sadri dan Encik Prajesh Dhimant Patel daripada terus mendaki Gunung Kinabalu sehingga berjaya menawan puncaknya, seawal 5.45 pagi pada 22 Mei.
Kededua bekas pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) itu, yang kini berusia 22 tahun, berpuas hati kerana berpeluang kembali untuk melengkapkan perjalanan yang terhenti separuh jalan sedekad yang lalu.
Mereka antara sekumpulan murid TKPS yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu pada 2015 tetapi terbantut akibat bencana gempa bumi.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Emyr berkongsi bahawa pendakian kali ini bukan sekadar untuk menawan puncak gunung itu, tetapi juga bagi menyelesaikan pendakian yang terhenti pada 2015 dan juga bagi memberi penghormatan kepada rakan-rakan dan guru yang terkorban dalam tragedi tersebut.
“Akhirnya, saya dapat selesaikan pendakian ini... akhirnya saya boleh melangkah ke hadapan sepenuhnya... akhirnya saya dapat menamatkan apa yang rakan-rakan saya tidak sempat selesaikan dahulu,” kata beliau.
Gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter yang melanda Sabah pada 5 Jun 2015 itu berlaku semasa mereka berada di laluan pendakian Via Ferrata Walk the Torq (WTT), sekali gus menamatkan ekspedisi mereka sebelum sempat sampai ke puncak.
Gempa bumi tersebut meragut nyawa dua guru dan tujuh murid TKPS, antaranya ialah Allahyarham Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, serta seorang jurupandu pengembaraan mereka.
Semasa Encik Emyr dan Encik Prajesh mula mendaki semula laluan yang pernah mereka lintasi di Gunung Kinabalu pada 20 Mei, pelbagai kenangan manis dan pahit kembali menerjah dalam ingatan.
Gelak tawa, semangat setiakawan dan juga trauma akibat gempa bumi pada 2015 itu merupakan antara perkara yang sentiasa tersemat dalam ingatan, menyusuri jalan kenangan.
“Saya masih ingat setiap butiran dengan jelas, kehilangan nyawa, segalanya. Ia masih segar dalam ingatan saya. Tetapi, saya memilih untuk tidak memikirkannya dan memberi tumpuan kepada detik manis bersama rakan-rakan saya.
“Detik-detik manis seperti kali terakhir saya menunaikan solat isyak bersama Ameer Ryyan dan rakan-rakan Muslim lain, perbualan saya dengan rakan-rakan lain yang telah pergi. Saya hanya fokus pada itu,” kongsi Encik Emyr.
Bersama dua jurupandu pengembara, mereka memulakan perjalanan mereka dari Timpohon Gate pada 8.30 pagi, 20 Mei.
Memandangkan kedua-dua jurupandu pengembara tersebut – Encik Billy Sapinggi dan Encik Cornelius Sanan – juga terlibat dalam ekspedisi 2015 itu, kehadiran mereka memberi makna yang mendalam kepada pendakian kali ini, terutamanya bagi Encik Prajesh.
Menurut Encik Prajesh, beliau merupakan antara mangsa paling parah ketika itu, dan hanya ditemui tujuh jam selepas gempa berlaku, iaitu sekitar 2 petang.
“Jurupandu yang menemui saya memberitahu bahawa saya masih mampu memberi respons apabila mereka memanggil nama saya dan saya masih mempunyai nadi… Tetapi sebaik sahaja saya tiba di kaki gunung, saya tidak sedarkan diri.
“Saya tidak dapat ingat sebarang peristiwa yang berlaku sepanjang ekspedisi itu (kecuali semasa kami menginap di Pendant Hut), dan saya hanya mengetahui semua ini selepas berbual dengan mereka,” kongsi siswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu.
Bapa Encik Emyr, Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick, meluahkan rasa bangganya menyaksikan anaknya mengambil langkah penuh berani ini.
“Saya menangis ketika beliau mencium saya untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum berangkat. Tetapi, sebagai seorang bapa, saya tahu beliau perlu melakukan apa yang perlu dilakukannya.
“Beliau memikul risiko dan tanggungjawab yang besar di bahunya semata-mata untuk menyelesaikan apa yang rakan-rakannya yang telah pergi, tidak sempat selesaikan.
“Saya percaya pada keputusannya dan kini saya tahu beliau akan menjadi seseorang yang akan dijadikan contoh oleh generasi muda,” kongsi beliau kepada BH.
Dalam pada itu, Encik Emyr menegaskan bahawa pendakian ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar pencapaian peribadi.
“Saya tahu saya bukan satu-satunya yang masih belum dapat melupakannya. Ramai lagi yang masih belum boleh meluputkan perkara ini daripada ingatan.
“Dengan saya mengibarkan bendera Singapura di puncak, ia bukan hanya untuk diri saya sendiri. Ia untuk rakan-rakan saya, mereka yang telah pergi, untuk keluarga mereka, guru-guru dan seluruh rakyat Singapura,” ujar siswa Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg