Pada hujung Mei, sekumpulan ibu berumur antara 38 tahun dengan 62 tahun akan berusaha mendaki ke puncak gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu.
Mereka merupakan pendaki gunung berpengalaman dan menganggotai kumpulan bernama Sisters in Hiking yang dibentuk pada 2020 semasa pandemik Covid-19.
Kumpulan yang kini mempunyai sekitar 50 anggota itu meletak matlamat mendaki dua kali setahun dan sejauh ini telah memanjat hampir 10 bukit dan gunung termasuk Gunung Ledang di Johor dan Bukit Senaling di Negeri Sembilan.
Salah seorang anggota kumpulan itu, Cik Norita Nurdin, berkata kumpulan itu berlatih sekali seminggu secara berkumpulan di Hutan Simpanan Bukit Timah, di taman-taman serata Singapura dan di gim.
“Kami akan melakukan latihan kekuatan, kardio dan daya tahan sama ada secara sendirian atau berkumpulan. Setiap anggota mempunyai pengalaman mendaki di dalam atau luar negara jadi semua orang boleh menyumbang idea latihan. Kami akan menyesuaikan latihan mengikut kemampuan masing-masing,” kata ibu dua anak remaja berumur 50 tahun itu.
Namun, dengan pelbagai tanggungjawab dan tuntutan sebagai ibu, sama ada yang bekerja atau merupakan suri rumah sepenuh masa, anggota kumpulan itu menghadapi cabaran kesuntukan masa.
Mereka perlu mencari masa sesuai untuk bersenam dan berlatih dan Cik Norita, yang mula bersenam sejak sedekad lalu, berkata beliau mendapati masa terbaik melakukan demikian adalah pada awal pagi.
“Lepas subuh adalah masa yang baik kerana pada waktu itu, ibu-ibu tidak diperlukan, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Pada hari biasa, mereka boleh bersenam pada sebelah petang dekat dengan waktu senja,” katanya yang biasa bersenam dengan berjalan kaki di sekeliling Kolam Air Bedok dekat dengan rumahnya.
“Tapi bagi ibu-ibu yang mempunyai anak-anak kecil, mereka memerlukan sokongan ahli keluarga untuk menjaga anak-anak jika mereka perlu berlatih di luar rumah,” tambahnya.
Seorang lagi anggota kumpulan itu, Cik Norliza Ibrahim, yang bekerja sepenuh masa dan mempunyai tiga anak berumur sembilan, 12 dan 14 tahun, akur tentang cabaran mencari masa untuk berlatih.
“Saya juga perlu memastikan saya mempunyai tenaga untuk bersenam, dan juga dapat memberi tumpuan semasa latihan dan membantu anak-anak dalam kerja sekolah mereka, di samping melakukan rutin harian lain. Namun saya bersyukur suami dan anak-anak sangat menyokong dan memahami minat saya. Suami saya membantu dengan apa sahaja yang saya perlukan untuk pendakian akan datang ini,” kata Cik Norliza, 43 tahun.
Apabila Berita Harian menemui kumpulan itu baru-baru ini, mereka sedang bersiap sedia untuk memulakan latihan berjalan kaki pada waktu malam sejauh 17 kilometer.
Mereka berkumpul di Taman Pasir Ris sekitar 8 malam sebelum berjalan pantas ke Punggol dan kembali ke titik permulaan.
Mereka mempunyai sasaran berjalan empat kilometer dalam masa satu jam, dan Cik Norita yakin anggota kumpulannya mampu mencapai sasaran tersebut kerana kesemua mereka cergas dan biasa bersenam.
“Kami perlu berlatih berjalan malam kerana sebahagian pendakian ke puncak Gunung Kinabalu menghendaki kami mendaki pada awal pagi,” kata penolong terapi di pusat penjagaan warga emas itu.
“Namun seperti misi-misi pendakian yang telah kami sertai sebelum ini, kami akan saling mengingati untuk menjaga satu sama lain. Kami akan menunggu pendaki yang lebih perlahan, mendorong mereka dan berjalan bersama mereka.
“Kami tidak meninggalkan mereka kerana kami mahu memulakan dan mengakhiri pendakian bersama. Kami yakin kami dapat mengharungi cabaran dan rintangan dengan yakin jika ada seseorang yang menyokong kami,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg