Parti Kuasa Rakyat (PPP) memberi tumpuan kepada penduduk dan tadbir urus dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam manifestonya, PPP menggariskan cadangan untuk menangani pelbagai isu dasar.
Sebagai sebahagian daripada cadangan dasar yang menyokong keluarga, PPP menyarankan agar langkah seperti pembayaran sebanyak $300 sebulan diberikan kepada kanak-kanak daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah pada atau bawah 70 peratus daripada persentil penduduk.
Elaun tersebut harus diberikan sehingga seseorang kanak-kanak menamatkan pendidikan sekolah menengah.
Ia juga menyarankan langkah untuk “melindungi kanak-kanak daripada bahan yang menggalak gaya hidup atau naratif yang bertentangan dengan definisi asas perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita”.
Untuk menangani masalah “simpanan persaraan yang tidak mencukupi”, PPP mencadangkan pengecualian barangan dan perkhidmatan penting – seperti makanan segar, barangan runcit, bekalan air dan khidmat jagaan kesihatan – daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ia turut menyarankan semua pekerja asing di Singapura diwajibkan menyertai pelan insurans MediShield Hayat untuk “memperluaskan perlindungan jagaan kesihatan universal untuk seluruh penduduk”.
Selain itu, parti itu juga mencadangkan kadar caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) ditukar kepada “20 peratus daripada majikan dan lima peratus daripada pekerja”.
Buat masa ini, pekerja berusia sehingga 55 tahun menyumbang 20 peratus daripada gaji mereka kepada CPF, manakala majikan menyumbang 17 peratus.
Caruman ini dihadkan oleh siling gaji bulanan CPF, yang menentukan jumlah maksimum gaji bulanan yang tertakluk kepada caruman CPF.
PPP juga akan memberi tumpuan kepada “sistem tadbir urus yang baik” dalam kempen pilihan raya akan datang.
Ia mencadangkan sistem pilihan raya diubah dengan memperkenalkan sistem perwakilan berkadar dalam pilihan raya Parlimen.
Satu pautan bagi manifesto setebal 28 muka surat itu dimuat naik ke Facebook oleh Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng pada 4 April.
Slogan parti itu ialah ‘Make Singapore Home Again’ (Jadikan semula Singapura sebagai Kediaman).
Manifesto PPP boleh dibaca di laman web rasmi parti itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg