Kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines bakal menyaksikan persaingan sengit empat penjuru pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Namun, penganalisis dan penduduk GRC Tampines memberitahu Berita Harian (BH) mereka menjangka pengundi akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada apa yang ditawarkan PAP dan Parti Pekerja (WP).
Malah, Penolong Profesor di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, berkata dua lagi parti pembangkang – Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) – menghadapi risiko kehilangan deposit.
“Saya tidak beberapa khuatir tentang persaingan tiga penjuru atau empat penjuru kerana ia tidak akan memberi manfaat kepada parti pembangkang.
“Ia akan memberi manfaat kepada PAP dan persaingan empat penjuru tidak akan melemahkan WP,” kata beliau.
Malah, Dr Walid Jumblatt, menjangka kedua-dua parti selain PAP dan WP, menghadapi risiko kehilangan deposit mereka.
“Saya rasa rakyat matang untuk memilih parti yang mereka jangka boleh menang,” kata beliau.
WP akan menampilkan pasukan baru di GRC Tampines yang diketuai Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, 49 tahun, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Aljunied sejak 2011.
Ini kali pertama WP akan bertanding di GRC Tampines.
Ia merangkumi pengasas bersama firma pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering, Encik Jimmy Tan, 53 tahun; ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Ong Lue Ping, 48 tahun; mantan diplomat, Cik Eileen Chong, 33 tahun; dan pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng, 37 tahun.
Mereka akan bersaing dengan pasukan PAP di GRC Tampines yang dipimpin Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, 62 tahun.
Beliau, yang menyertai politik pada 2006, akan memimpin pasukannya buat kali kedua sejak Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dipindahkan ke GRC East Coast pada 2020.
Pasukan PAP itu terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, 53 tahun; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, 54 tahun; dan dua muka baru PAP – mantan ketua tentera Encik David Neo, 47 tahun; dan profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen, 43 tahun.
Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata kehadiran WP di GRC Tampines dari segi simboliknya ialah pertembungan antara Encik Masagos dengan Encik Faisal.
“Sebelum ini belum pernah berlaku seorang menteri, pemimpin Melayu/Islam berdepan dengan seseorang yang – disebutkan mungkin secara simbolik – seorang pemimpin Islam dari parti pembangkang.
“Ini pertama kali showdown (pertarungan) yang kita lihat di satu Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan cara mereka menghadapi isu yang berkaitan masyarakat Melayu, bahkan juga isu nasional.
“Jadi, kita nantikan showdown tersebut di Tampines,” kata Dr Norshahril.
Sentimen ini turut dikongsi beberapa penduduk Tampines, dari lingkungan usia 26 tahun hingga 70 tahun, yang ditemui BH di persekitaran Blok 201D, Tampines Street 21, pada 24 April.
Seramai 18 penduduk berkongsi mereka mengalu-alukan pertarungan antara pemimpin PAP dengan WP itu, memandangkan mereka telah beberapa kali bertikam lidah di Parlimen berkenaan isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam.
Encik Muhammad Aizat Md Husain, 29 tahun, berkata: “Sudah pasti Encik Faisal ingin bersaing dengan Encik Masagos sebab sudah lama saya melihat bahas antara mereka di Parlimen mengenai isu masyarakat Melayu/Islam.
“Ini tempat yang terbaik kerana saya rasa terdapat ramai penduduk Melayu/Islam di Tampines dan sebab itu, saya rasa, Encik Faisal cuba bersaing di Tampines kali ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Cik Maisarah Affendi, 38 tahun, berkata beliau menerima baik berita mengenai empat parti yang bertanding di GRC Tampines buat GE2025.
Ini, katanya, memberikan penduduk generasi milenial sepertinya peluang menilai tawaran yang dibuat oleh parti yang bertanding memandangkan beliau mempunyai anak kecil.
Beliau turut berharap dengan penampilan calon-calon Melayu di GRC Tampines, penduduk juga dapat menilai calon mana yang terbaik dalam mengutarakan isu yang menjadi kebimbangan masyarakat Melayu/Islam.
“Saya harus melihat, apakah yang boleh mereka bawa kepada estet Tampines dan juga seluruh Singapura.
“Dasar-dasar yang mereka tawarkan perlu memberi faedah kepada saya dan lagi penting kepada anak-anak saya, kerana mereka adalah masa depan Singapura.
“Jangan mengundi hanya kerana mahu menentang ataupun menyokong seseorang pemimpin, tetapi kita harus melihat manifesto dan lihat apa yang mereka tawarkan,” kata Cik Maisarah.
Cik Faridah Abdurachim, 56 tahun, berkata persaingan itu baik kerana ia memberi peluang kepada penduduk melihat kewibawaan kedua-dua pemimpin Melayu/Islam itu.
Namun, beliau berkata penting juga bagi penduduk melihat siapa antara mereka yang akan mengutamakan kemaslahatan penduduk di Tampines dan juga Singapura buat jangka masa panjang.
“Seorang calon itu perlu mengutamakan penduduk Tampines dan bukan sekadar berjanji akan melakukan sesuatu pada tahun ini tetapi, hakikatnya, hanya dapat melakukannya10 tahun kemudian.
“Jadi, kita tidak mahu macam itu. Saya harap apa yang mereka janjikan, mereka betul-betul kotakan,” katanya.
Beberapa penduduk lain, seperti Encik Rahman Mohi, 66 tahun, yang telah tinggal di Tampines lebih 40 tahun, berkata parti PAP selama ini telah menyediakan prasarana dan khidmat yang baik kepada penduduk Tampines.
Justeru, parti pembangkang yang ingin bertanding di GRC Tampines perlu menyelidik dan mempunyai strategi yang baik untuk menentang PAP, kalau tidak, “tidak balik modal”, katanya.
Selain WP, dua lagi parti yang akan bersaing dengan PAP di GRC Tampines ialah NSP, yang telah bertanding di kawasan tersebut sejak 2011 dan PPP, yang mula ditubuhkan dan bertanding di sana pada 2015.
Encik Goh Meng Seng, 55 tahun, yang mula bertanding di GRC Tampines pada GE2011 sebagai Setiausaha Agung NSP, kini mengetuai pasukan PPP sebagai setiausaha agung parti itu pula, untuk bertanding di kubu kuat PAP itu.
Pasukannya terdiri daripada pengerusi parti itu, Encik Derrick Sim, 44 tahun; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; pengasas firma teknologi hijau, Encik Peter Soh, 65 tahun; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun, 50 tahun.
NSP pula menampilkan presiden mereka, Encik Reno Fong, 56 tahun, yang pernah bertanding bersama Encik Goh pada GE2011.
Pasukan NSP itu merangkumi Encik Mohd Ridzwan Mohammad, 63 tahun; penolong setiausaha agung parti itu, Encik Eugene Yeo, 49 tahun; perancang kewangan, Encik Zee Phay, 32 tahun; dan Encik Thamilselvan Karuppaya, 57 tahun, yang bekerja sendiri.
GRC Tampines telah menjadi kubu kuat PAP sejak penubuhannya pada 1988, ketika sistem GRC mula-mula diperkenal.
Pada GE2020, pasukan PAP di Tampines memperoleh 66.41 peratus undi – lebih tinggi daripada undi nasional sebanyak 61.24 peratus.
Pada GE2015, ia meraih 72.06 peratus undi di Tampines, berbanding undi nasional sebanyak 69.9 peratus.
PAP hadapi persaingan GRC Tampines pada setiap pilihan raya, kecuali pada 1997, apabila parti itu menang tanpa bertanding.
“
Ia akan memberi manfaat kepada PAP (Parti Tindakan Rakyat) dan persaingan empat penjuru tidak akan melemahkan WP (Parti Pekerja). Saya rasa rakyat matang untuk memilih parti yang mereka jangka boleh menang.“
Sebelum ini belum pernah berlaku seorang menteri, pemimpin Melayu/Islam berdepan dengan seseorang yang – disebutkan mungkin secara simbolik – seorang pemimpin Islam dari parti pembangkang. Ini pertama kali ‘showdown’ (pertarungan) yang kita lihat di satu Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan cara mereka menghadapi isu yang berkaitan masyarakat Melayu, bahkan juga isu nasional.“
Dasar-dasar yang mereka tawarkan perlu memberi faedah kepada saya dan lagi penting kepada anak-anak saya, kerana mereka adalah masa depan Singapura. Jangan mengundi hanya kerana mahu menentang ataupun menyokong seseorang pemimpin, tetapi kita harus melihat manifesto dan lihat apa yang mereka tawarkan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg