Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan AP GRC Aljunied, Faisal Manap, ceburi bidang hartanah
Mantan AP GRC Aljunied, Faisal Manap, ceburi bidang hartanah
Mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, kini memulakan lembaran baru dalam kerjayanya sebagai ejen hartanah bersama agensi ERA Singapore.
Anggota Parti Pekerja (WP) itu berkata beliau memutuskan untuk menceburi kerjaya dalam bidang hartanah kerana melihatnya sebagai satu lagi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat – satu persamaan dengan kerjanya dalam bidang kaunseling serta penglibatan politiknya di mana beliau kini memegang jawatan naib pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP.
Selain itu, tugas baru itu juga memberinya fleksibiliti dari segi waktu kerja.
“Saya sudah bertugas dalam bidang perkhidmatan selama hampir 20 tahun, termasuk sebagai kaunselor dan juga sebagai AP selama 14 tahun.
“Oleh itu, saya rasa ia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Justeru, pada masa ini, saya mahu cuba menceburkan diri dalam bidang hartanah,” kata beliau semasa dihubungi Berita Harian (BH).
Bermula sebagai sekutu hartanah baharu, Encik Faisal, 51 tahun, kini di bawah bimbingan pengarah divisyen cawangan, Encik Clement Yeo, bagi menimba pengalaman praktikal di lapangan menerusi latihan sambil bekerja.
Walaupun beliau berharap untuk berkhidmat secara berdikari kelak, Encik Faisal berkata beliau memanfaatkan masa ini untuk mengukuhkan kemahiran asas sebagai sebahagian daripada proses pembelajarannya.
Langkah menceburi bidang hartanah ini diambil Encik Faisal selepas beliau menawarkan khidmat kaunseling persendirian susulan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Selepas 14 tahun berkhidmat di kawasan undi Kaki Bukit di GRC Aljunied, Encik Faisal telah berpindah untuk bertanding di GRC Tampines dalam GE2025, namun pasukan WP yang dipimpinnya tewas kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sebelum memasuki bidang politik, Encik Faisal pernah bertugas sebagai pegawai teknikal Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kemudiannya, sebagai kaunselor.
Melangkah ke hadapan, Encik Faisal berharap pengetahuan dan perspektif yang ditimbanya sepanjang 14 tahun berkhidmat sebagai AP akan membolehkan beliau untuk terus memberikan perkhidmatan bermakna menerusi bidang hartanah.
Ini di samping menyediakan khidmat kaunseling secara pro bono dan juga kekal aktif dalam parti politiknya.
“Ini satu lagi fasa kehidupan baru bagi saya. Seperti mana yang saya lakukan ketika menjadi AP, saya sentiasa percaya kepada diri sendiri dan melakukan apa yang terdaya mengikut kemampuan saya.
“Saya mengambil pendekatan setapak demi setapak. Dalam setiap apa yang kita ingin usahakan, kita semestinya mahukan hasil yang terbaik.
“Jadi, saya fokus, melangkah satu demi satu, belajar, membina asas yang kukuh, dan selebihnya menyerahkan segalanya kepada Allah swt,” kata beliau.