Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faisal: Saingan di GRC Tampines antara WP dan PAP, bukan Faisal lawan Masagos

Apr 28, 2025 | 9:11 PM
Naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (kanan, depan), berkata persaingan di GRC Tampines bukan persaingan antara beliau dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebaliknya ia antara pasukan WP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Bersamanya bertemu penduduk di sekitar Blok 201E, Tampines Street 23 pada 28 April ialah pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (tengah), dan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh (kanan, di belakang).
Naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (kanan, depan), berkata persaingan di GRC Tampines bukan persaingan antara beliau dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebaliknya ia antara pasukan WP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Bersamanya bertemu penduduk di sekitar Blok 201E, Tampines Street 23 pada 28 April ialah pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (tengah), dan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh (kanan, di belakang). - Foto ST

Sambutan penduduk GRC Tampines semasa kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sejauh ini mengukuhkan tekad Encik Faisal Manap untuk memimpin pasukan Parti Pekerja (WP) yang bertanding di kawasan itu.

Setelah berpindah dari GRC Aljunied, tempat beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) selama lebih sedekad, Encik Faisal, 49 tahun, berkata interaksinya bersama penduduk dalam beberapa hari kebelakangan ini menguatkan lagi komitmen untuk berkhidmat di Tampines. 

Ramai penduduk meluahkan harapan yang telah lama terpendam untuk melihat kehadiran WP di kawasan itu, kata Encik Faisal.

Di GRC Tampines, Encik Faisal berhadapan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, namun, beliau menegaskan bahawa persaingan tersebut adalah antara pasukan, bukan antara individu.

Bercakap secara eksklusif dengan Berita Harian (BH) semasa sesi mendekati dan menemui penduduk Tampines di sekitar Blok 201E Tampines Street 23 pada 28 April, Encik Faisal, yang juga Naib Pengerusi WP, berkata: “Secara keseluruhan, tanpa mengira bangsa, latar belakang atau usia, sambutannya alhamdulillah.

“Kami terima banyak dorongan dan sokongan.”

Antara maklum balas yang beliau sepasukan kerap terima tatkala melawat dan bertemu penduduk ialah mereka sudah menantikan WP selama 10 tahun, 20 tahun, malah 30 tahun lamanya.

Ini merupakan kali pertama WP bertanding di GRC Tampines.

Di bawah kepimpinan Encik Faisal, pasukan WP di GRC Tampines juga terdiri daripada pengasas bersama firma pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering, Encik Jimmy Tan, 53 tahun; ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Ong Lue Ping, 48 tahun; mantan diplomat, Cik Eileen Chong, 33 tahun; dan pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng, 37 tahun.

Mereka bersaing dengan pasukan PAP di GRC Tampines yang dipimpin Encik Masagos, 62 tahun.

Encik Masagos, yang menyertai politik pada 2006, akan memimpin pasukannya buat kali kedua sejak Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dipindahkan ke GRC East Coast pada 2020.

Pasukan PAP itu terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, 53 tahun; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, 54 tahun; dan dua muka baru PAP – mantan ketua tentera Encik David Neo, 47 tahun; dan profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen, 43 tahun.

Meskipun ada rakan sepasukannya kurang berpengalaman dan masih baru, usia muda mereka bukan menjadi faktor hambatan, malah Encik Faisal menyifatkannya sebagai “sekadar angka” dan menekankan pentingnya kesepaduan dalam satu pasukan. 

Sambil menggunakan perumpamaan lima jari manusia untuk menggambarkan pengalaman politik yang lama atau masih baru bukan halangan asalkan berkongsi visi serupa, Encik Faisal, berkata: “Ada (jari) yang pendek, ada (jari) yang panjang. Namun, kita menggunakan kesemua jari untuk menggenggam sesuatu.

“Jadi, memang ada kesepaduan.. dan saya juga rasa terdapat motivasi yang sama (untuk) bekerjasama sebagai sepasukan.”

Di kawasan baru itu, pasukan Encik Faisal berpegang pada prinsip seorang “ketua yang ingin berkhidmat”.

Malah slogan WP juga menyatakan “bekerja untuk Singapura”, dan seperti beliau katakan dalam ucapan rapatnya, “bekerja untuk penduduk di Tampines”.  

Berkhidmat di Tampines merupakan hasrat lama beliau dan menjelang GE2025, keinginan itu semakin teguh.

Berbekalkan pengalamannya berkhidmat di kawasan Kaki Bukit, Encik Faisal berkata pengalaman bertemu masyarakat Tampines adalah positif, mentelah mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

“Saya seorang Melayu/Islam... namun tidak pernah wujud sebarang halangan antara kami,” ujar beliau sambil menggambarkan suasana yang serupa semasa beliau berkhidmat di Kaki Bukit.

Malah, di Kaki Bukit, Encik Faisal berkongsi nombor beliau dengan penduduk bagi memudahkan mereka terus berkomunikasi.

“Saya berikan nombor peribadi saya kepada penduduk di Kaki Bukit. 

“Jadi kalau ada masalah, mereka boleh terus hubungi saya melalui WhatsApp,” katanya. 

Apabila ditanya tentang persaingan di GRC Tampines, Encik Faisal berkata beliau menghormati pasukan PAP dan akur bahawa Encik Baey cukup terkenal dan amat disegani penduduk Tampines.

Namun, WP akan melakukan yang terbaik dan memberi tumpuan kepada penduduk Tampines, serta menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Seperti yang beliau katakan semasa bercakap kepada media di Blok 201E, Tampines Street 23, persaingan di GRC Tampines “tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan peribadi antara beliau dan Encik Masagos”. 

“Saya tidak melihat diri saya menentang Encik Masagos.

“Ia merupakan satu persaingan antara dua pasukan – WP dan PAP – masing-masing terdiri daripada lima anggota,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg