Seorang lagi anggota veteran Parti Tindakan Rakyat (PAP), mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Hong Kah, Encik Kenneth Chen Koon Lap, meninggal dunia pada 17 Ogos.

Ini menyusuli pemergian mantan AP Chua Chu Kang, mendiang Tang See Chim, pada 15 Ogos.

Mendiang Chen telah meninggalkan sumbangan besar dalam bidang seni bina Singapura, termasuk sebagai Presiden Institut Arkitek Singapura, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 86 tahun.

Dalam hantaran Facebook pada 18 Ogos, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Encik Chen sentiasa menunjukkan komitmen untuk menyumbang kepada Singapura dan membina masyarakat yang lebih baik dalam setiap jawatan yang disandangnya.

“Mendiang memulakan khidmatnya sebagai pemimpin akar umbi sebelum menceburi bidang politik, dan kemudiannya berkhidmat sebagai AP GRC Hong Kah selama hampir sedekad.

“Beliau membawa keyakinan terhadap prinsip yang diperjuangkannya di Parlimen, di samping pengalaman profesionalnya sebagai seorang arkitek.

“Beliau menyuarakan isu-isu yang penting kepada rakyat Singapura, daripada hal keluarga, masalah sosial, termasuk keganasan keluarga serta pemulihan penagih dadah, hinggalah kepada alam sekitar dan pembangunan bandar kita.

“Di luar bidang politik, Encik Chen turut meninggalkan sumbangan besar dalam bidang seni bina Singapura sebagai Presiden Institut Arkitek Singapura.

“Sepanjang memegang pelbagai peranan, beliau kekal komited untuk menyumbang kepada Singapura dan membina masyarakat yang lebih baik,” kata Encik Wong.

Sementara itu, mendiang Tang, seorang AP yang lama berkhidmat bagi kawasan undi Chua Chu Kang, telah memperjuangkan nasib para petani yang berdepan dengan penempatan semula pada tahun-tahun awal kemerdekaan Singapura.

Dalam satu lagi hantaran Facebook Encik Wong pada 16 Ogos, beliau berkata Singapura telah kehilangan seorang perintis yang berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi dan integriti pada tahun-tahun awal pembentukan negara.

Sebagai AP bagi GRC Chua Chu Kang antara 1966 dengan 1988, Encik Tang mempunyai komitmen yang mendalam terhadap para penduduknya dan menyokong mereka melalui tempoh pembangunan pesat dan penempatan semula, kata Encik Wong.

“Di luar bidang politik, mendiang (Encik Tang) turut memberikan sumbangan penting kepada gerakan buruh dan bidang perundangan.

“Encik Tang berkhidmat untuk Singapura dengan penuh dedikasi dan integriti,” tambah beliau.

Encik Tang menjadi AP kawasan Chua Chu Kang selama 22 tahun sehingga bersara daripada politik pada 1988.

Sepanjang kerjaya Encik Tang dalam perkhidmatan awam, mendiang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kewangan, Menteri Negara (Kewangan) dan Timbalan Speaker Parlimen pada masa yang berbeza.