Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan AP Chua Chu Kang, Tang See Chim, meninggal dunia pada usia 94 tahun
Mantan Anggota Parlimen (AP), Encik Tang See Chim, yang telah lama berkhidmat bagi kawasan undi Chua Chu Kang dan memperjuangkan nasib golongan penternak yang berdepan isu penempatan semula pada zaman awal pembangunan Singapura, telah meninggal dunia pada 15 Ogos pada usia 94 tahun.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran di media sosial, berkata Singapura telah kehilangan salah seorang tokoh perintis yang berkhidmat kepada negara dengan penuh dedikasi dan integriti pada tahun-tahun pembangunannya.
Sebagai AP bagi Chua Chu Kang dari 1966 hingga 1988, mendiang Encik Tang menunjukkan komitmen mendalam terhadap penduduk kawasan tersebut dan memberi sokongan kepada mereka dalam melalui era pembangunan pesat serta penempatan semula, kata Encik Wong.
“Selain bidang politik, beliau turut memberi sumbangan penting kepada pergerakan buruh dan persatuan guaman,” tambah Encik Wong.
“Encik Tang berkhidmat untuk Singapura dengan penuh dedikasi dan integriti.”
Mendiang Encik Tang, yang merupakan seorang peguam, diundang menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1962 selepas beliau tamat pengajian di Britain dan kembali ke Singapura.
Dalam satu wawancara sejarah lisan pada 2010, Encik Tang menyifatkan penglibatan beliau dalam politik sebagai “perkembangan semula jadi daripada (penglibatan dalam) politik pelajar di England”, di mana beliau pernah aktif dalam Kesatuan Pelajar Malaya.
Mendiang bermula dengan membantu Menteri Kewangan ketika itu, Encik Goh Keng Swee, di kawasan undi Kreta Ayer.
Encik Tang kemudian bertanding di Chua Chu Kang dalam Pilihan Raya Kecil 1966 yang diadakan menyusuli tindakan Barisan Sosialis memulaukan Parlimen.
Mendiang Encik Tang berkhidmat sebagai AP kawasan undi tersebut selama 22 tahun sehingga bersara daripada bidang politik pada 1988.
Sepanjang kerjaya perkhidmatan awamnya, Encik Tang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kewangan, Menteri Negara (Kewangan), dan Timbalan Speaker Parlimen pada tempoh berbeza-beza.
Dalam wawancara sejarah lisan pada 2010, Encik Tang berkata beliau pada mulanya bimbang apabila dicalonkan di Chua Chu Kang, yang ketika itu merupakan kubu kuat Barisan Sosialis.
Kawasan undi luar bandar itu merangkumi kira-kira 10 peratus daripada jumlah keluasan tanah Singapura dan berdepan pelbagai cabaran, seperti kekurangan jalan raya, bekalan air, dan juga elektrik, kata Encik Tang.
Selepas menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya 1966, mendiang Encik Tang berusaha membawa masuk lebih banyak kemudahan asas ke kawasan tersebut.
Encik Tang turut menjadikan Chua Chu Kang kawasan undi pertama yang mengamalkan pendekatan ‘gotong-royong’ bagi memajukan kawasan yang sebahagian besarnya merupakan kawasan luar bandar, katanya.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 16 Ogos, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata mendiang Encik Tang telah mendedikasikan bertahun-tahun hidupnya untuk perkhidmatan awam, dan sumbangan serta komitmen mendiang terhadap penduduk akan sentiasa dikenang.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan), Dr Tan See Leng, pula menerusi hantaran media sosial berkata mendiang Encik Tang terus menghadiri acara kemasyarakatan meskipun pada usia lanjutnya.
“Dedikasi berterusan mendiang terhadap Chua Chu Kang akan sentiasa dikenang,” kata Dr Tan, yang juga AP GRC Chua Chu Kang.
