Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan CEO firma media tukar kerjaya jadi peguam pada usia 50 tahun

Jan 24, 2024 | 4:27 PM
PEGUAM BARU: Cik Zaihirat Banu Codelli, 51 tahun, sebelum ini merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat media dan penerbitan, Oak3 Films, tapi kini seorang peguam di Tito Isaac & Co LLP.
PEGUAM BARU: Cik Zaihirat Banu Codelli, 51 tahun, sebelum ini merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat media dan penerbitan, Oak3 Films, tapi kini seorang peguam di Tito Isaac & Co LLP. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Rata-rata kebanyakan usahawan yang sudah mencecah peringkat umur 40-an tahun mungkin sudah mula merancang bila mereka hendak bersara.

Namun bagi Cik Zaihirat Banu Codelli, 51 tahun, yang merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat media dan penerbitan, beliau memilih untuk memulakan kerjaya baru pada usia itu.

Bak kata pepatah, ‘usia hanya nombor saja,’ sesuai dikaitkan dengannya.

Apakan tidak, pada usia 45 tahun, Cik Zaihirat melanjutkan pendidikannya dalam bidang undang-undang dengan menyertai program Doktor Juris (Doktor Perundangan) (JD) di Sekolah Undang-Undang, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2018.

Lima tahun kemudian beliau bekerja sepenuh masa sebagai seorang peguam dan pakar runding pembangunan perniagaan di firma guaman Tito Isaac & Co LLP selepas lulus peperiksaan Badan Peguam (Bar) pada November 2023.

“Inilah persaraan saya!” katanya dengan berseloroh ketika ditemui di pejabatnya di High Street Centre, North Bridge Road, baru-baru ini.

“Mujur, saya sudah mencapai banyak perkara yang diinginkan semasa dalam bidang media, dan kini saya mahu pelajari sesuatu yang baru sambil menyumbang balik kepada masyarakat. Saya harap dapat beri suara kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Menceritakan perjalanannya, Cik Zaihirat berkata pada 1996, beliau menubuhkan firma media dan penerbitan Oak3 Films bersama rakan-rakannya, selepas meraih diploma daripada Sekolah Filem dan Pembelajaran Media di Politeknik Ngee Ann (NP) – dianggapnya sebagai rancangan “luar biasa” memandangkan beliau berlatar belakangnya keluarga sederhana.

Arwah ayah Cik Zaihirat merupakan seorang penjaja makanan India Muslim di sebuah pusat penjaja di Pandan Loop sementara arwah ibunya seorang suri rumah.

Beliau adalah anak bongsu dalam keluarga lima beradik dan keluarganya turut berkongsi sebuah flat empat bilik di Selegie House bersama seorang nenek serta beberapa makcik dan pakcik lain. membentuk seramai 13 isi rumah.

“Jadi memang agak berani bagi saya berkecimpung dalam bidang media kerana tanggapannya pada waktu itu adalah ia mungkin tidak dapat menawarkan pekerjaan semudah bidang lain seperti kejuruteraan, sains dan sebagainya,” kata Cik Zaihirat.

Mujur, menurutnya, meskipun terdapat beberapa cabaran pada fasa permulaan firma itu, ia akhirnya berupaya mencapai pelbagai kejayaan.

Ini termasuk menghasilkan beberapa filem dan dokumentari bagi penerbitan terkemuka dari luar negara seperti National Geographic dan Discovery.

Pada 2015, siri kanak-kanak terbitan Oak3 Films, Spelling Armadillo turut dilantik sebagai calon Anugerah Antarabangsa Emmy Kids, menjadikan siri itu penerbitan pertama dari Asia Tenggara dicalonkan sebagai penerima anugerah tersebut.

Selain tugasnya sebagai CEO, Cik Zaihirat juga pernah memikul jawatan sebagai Anggota Jawatankuasa Kemudi Semakan Strategik Seni dan Budaya, Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian – kini Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) antara 2010 dengan 2012; dan ahli lembaga Suruhanjaya Filem Singapura dan Penguasa Pembangunan Media – kini Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) – antara 2008 dengan 2012.

Beliau juga mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Eksekutif daripada Universiti Tsinghua dan Insead pada 2011 dan Ijazah Sarjana Muda Seni daripada Universiti RMIT di Australia pada 2003.

Cik Zaihirat kemudian memilih untuk menyertai program JD di SUSS pada 2018 secara sambilan, sambil bertugas sebagai CEO di Oak3 Films.

“Bukanlah segala yang saya pelajari dalam bidang undang-undang itu perkara baru sebab sewaktu saya dalam media, saya harus peka terhadap syarat undang-undang dalam perniagaan dan penerbitan,” katanya.

Namun, perjalanan baru itu langsung tidak mudah.

Antaranya beliau perlu pelajari pelbagai dokumen dan kes mahkamah, membuatnya hanya dapat tidur sehingga tiga jam setiap malam semasa tempoh hari bekerja.

Pada tahun ketiga pengajiannya di SUSS, beliau menerima berita buruk apabila seorang kakaknya – anak ketiga dalam keluarga itu – meninggal dunia kerana penyakit lupus.

“Ia tempoh yang sukar sebab saya juga kehilangan kehidupan sosial saya,” tambahnya.

Cik Zaihirat, yang sudah berumah tangga selama 18 tahun dan tidak mempunyai anak, akhirnya mula bertugas dalam bidang guaman pada 2023 selepas lulus dengan Ijazah Doktor Juris (Doktor Perundangan) SUSS pada 2022 dan dipanggil untuk peperiksaan Bar November lalu. Beliau sudah meletak jawatan sebagai CEO Oak3 Films sejak mendapat pekerjaan baru itu.

Suaminya, seorang penulis dan pengkritik filem asal Italy, dan sudah bersara.

Ketika ditanya bila pula beliau akan bersara Cik Zaihirat berkata:

“Saya senang sekali menjalankan tugas ini dan saya kira sesiapa yang mahu meneroka laluan baru sebaiknya mengejar impian itu, tidak kira usia mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg