JANGKAAN tinggi masyarakat terhadap kerencaman peranan asatizah di alaf baru merupakan antara sebab Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, gigih menyertai Program Doktor Juris (Doktor Perundangan) di Sekolah Undang-Undang, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Hasratnya memperkasa diri dengan ilmu menyeluruh mengenai bidang perundangan yang kemudian membuka laluan untuknya mengambil peperiksaan bar untuk terima pentauliahan sebagai peguam.
Jerih payah membahagikan masa antara pengajian sambilan di SUSS, tugas sebagai Timbalan Pengarah Pejabat Mufti di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ketika itu, komitmen selaku ayah dan khidmat sukarela diharunginya selama empat tahun.
Semalam, Ustaz Irwan, 38 tahun, adalah antara 15 lulusan Program Doktor Juris yang menerima ijazah tamat pengajian possiswazah di sesi terakhir majlis konvokesyen SUSS.
Beliau difahamkan adalah asatizah pertama di sini yang lulus daripada program yang bertujuan mengisi ketandusan bekalan karyawan guaman dalam bidang undang-undang keluarga dan jenayah.
Ustaz Irwan, bapa tiga anak berusia antara dua setengah tahun dengan 11 tahun itu turut diuji dengan pemergian bapanya kerana radang otak pada tahun terakhir pengajian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg